22 kes COVID-19 jangkitan misteri

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OGOS – Jumlah keseluruhan jangkitan kes COVID-19 di negara ini telah meningkatkan kepada 598 orang setelah 55 kes baharu dilaporkan positif termasuk satu kes import, hari ini.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar mengongsikan terdapat tambahan pada kes-kes baharu kepada kluster-kluster aktif yang sedia ada iaitu 16 kes bagi Kluster Chung Hua KB; Kluster Imigresen (3); Kluster 499 (3); Kluster ABCi (2); Kluster TOTAL (2); dan Kluster Champion 7 (1).

“Terdapat dua kluster baharu yang telah dikesan hari ini iaitu tiga kes baharu telah dikaitkan dengan Kes 451 yang dilaporkan pada 11 Ogos 2021. Kluster tersebut sekarang dikenali sebagai Kluster 451 (merujuk Kes 451).”

“Manakala dua lagi kes baharu telah dikaitkan dengan Kes 477 yang dilaporkan pada 11 Ogos 2021. kluster tersebut sekarang dikenali sebagai Kluster 477 (merujuk kepada Kes 477),” tambahnya.

Beliau semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam hari ini, bertempat di Dewan Al-‘Afiah juga mengongsikan tentang satu kes import dari United Kingdom yang tiba di negara ini pada 30 Julai.

Sementara itu, terdapat 22 kes yang masih belum diketahui sumber jangkitannya, yang mana salah satu daripadanya telah dikaitkan dengan Kes 448 yang dilaporkan pada 11 Ogos 2021.

Kes-kes dalam kluster aktif itu adalah mereka yang sedang menjalani kuarantin setelah didapati mempunyai kontak dengan beberapa kes positif sebelumnya.

Pengesanan kontak bagi semua kes baharu ini masih giat dijalankan dan kontak terdekat yang dikenal pasti akan diarahkan menjalani kuarantin mandatori dan ujian RT-PCR SARS-CoV-2.

“Memandangkan terdapatnya peningkatan kes dalam Kluster Imigresen, Kementerian Kesihatan turut menasihatkan sesiapa yang telah pergi ke kaunter Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan, Bandar Seri Begawan antara 2 hingga 9 Ogos 2021 dan ketika ini mengalami tanda-tanda jangkitan adalah dinasihatkan untuk segera mendapatkan rawatan dan menjalani ujian SARS-CoV-2 di pusat-pusat swabbing berdekatan,” jelas Yang Berhormat Dato.

Dalam pada itu, lima kes telah disahkan sembuh di Pusat Pengasingan Kebangsaan yang membawa kepada jumlah kes yang sembuh sebanyak 327 kes.

Ini bermakna terdapat 268 kes aktif telah direkodkan di Negara Brunei Darussalam.
“Di kalangan kes-kes aktif tersebut, dua kes berada dalam keadaan kritikal manakala dua lagi kes adalah di bawah pemantauan rapi di Pusat Pengasingan Kebangsaan,” ujarnya lagi.

Menurutnya, dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 2,252 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 167,061 ujian.

Untuk maklumat lanjut, boleh layari laman web Kementerian Kesihatan www.moh.gov.bn atau hubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau aplikasi BruHealth.