LILLE, 28 OGOS – Para penyelamat warga Perancis menyelamatkan sehingga 22 orang pendatang termasuk 11 kanak-kanak yang mana bot mereka rosak ketika cuba menyeberangi Channel dalam usaha mereka menuju ke Britain, menurut pihak berkuasa maritim Perancis.
Sebuah bot nelayan telah memberi peringatan kepada para pegawai Perancis selepas mengesan bot tersebut dalam keadaan bermasalah.
Para pendatang akhirnya dihantar kembali ke Boulogne-sur-Mer, utara Perancis dan diserahkan kepada polis sempadan.
Para pendatang mengambil risiko lebih besar untuk pergi ke Britain dari Perancis, yang telah membuat pendekatan tidak ada kompromi terhadap para pendatang ekonomi yang mahu ke Eropah untuk mendapatkan kehidupan lebih baik.
Sejak Januari, kira-kira 1,450 pendatang telah diselamatkan sama ada oleh penjaga pantai British atau Perancis, lebih dua kali ganda daripada jumlah yang cuba menyeberangi laluan kapal yang sibuk itu sepanjang 2018, menurut perangkaan rasmi Perancis.
Perancis menjangkakan kenaikan mendadak itu adalah disebabkan cuaca musim panas yang baik, mendorong lebih ramai pendatang melakukan penyeberangan.
Bagaimanapun, ia masih terlalu bahaya memandangkan kesesakan trafik maritim di Channel, begitu juga arus kuat. Baru-baru ini jasad seorang pendatang warga Iraq, yang cuba menyeberangi Channel dengan berenang dari Perancis ke Britain, telah ditemui di pantai Belgium dengan memakai jaket keselamatan buatan sendiri yang diperbuat daripada botol-botol plastik.
Para pegawai percaya lelaki berusia 48 tahun itu lemas selepas mula berenang di sebuah pantai di utara Perancis, yang mana arus kemudian membawanya ke perairan Belgium. – AFP