Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 NOV – Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan Tahun 1447 Hijrah/2026 Masihi memasuki hari ketiga dan terakhir, hari ini, dengan menampilkan seramai 22 peserta terdiri daripada 18 qari dan empat qariah yang memperdengarkan bacaan masing-masing pada sesi pagi dan petang.
Hadir selaku tetamu khas pada sebelah pagi ialah Ketua Pegawai Ugama Daerah Belait, Awang Mohamad Aliyani bin Ismail, manakala pada sebelah petang ialah Ketua Pegawai Ugama Daerah Temburong, Awang Harris Hamdillah bin Haji Masri.
Musabaqah berkenaan turut disiarkan secara langsung melalui akaun Instagram rasmi Kementerian Hal Ehwal Ugama, @kheu.brunei serta Microsoft Teams di pautan https://tiny.cc/kheumusabaqah bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk mengikuti pertandingan tersebut secara dalam talian.
Sementara itu, majlis pengumuman keputusan serta penyampaian hadiah dan cenderamata kepada para peserta dan hakim Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan Tahun 1447 Hijrah/2026 Masihi dijadualkan berlangsung esok di tempat yang sama.
Penganjuran musabaqah tersebut dihasratkan untuk memartabatkan syiar Islam melalui pembacaan dan penghayatan Al-Quran serta mencerminkan komitmen berterusan negara dalam memupuk budaya celik Al-Quran dalam kalangan masyarakat Islam di negara ini, di samping menjadi wasilah mendekatkan diri kepada Allah SWT.





