DAMSYIK, 23 JUN – Satu serangan tembakan dan letupan berani mati yang berlaku di sebuah gereja di Damsyik semasa upacara keagamaan yang sesak kelmarin telah mengorbankan sekurang-kurangnya 22 orang, menurut pihak berkuasa, yang menyalahkan seorang ahli kumpulan militan atas serangan yang belum pernah terjadi sebelum ini.
Masyarakat antarabangsa mengecam serangan tersebut, yang merupakan kejadian pertama seumpamanya di ibu negara Syria sejak kejatuhan pemerintahan Bashar al-Assad oleh pasukan pimpinan Islamis pada Disember lalu.
Menurut satu badan pemantau, ini juga merupakan serangan pertama di dalam sebuah gereja di Syria sejak perang saudara meletus pada tahun 2011.
Keselamatan kekal menjadi salah satu cabaran terbesar bagi pihak berkuasa baharu Syria, dengan komuniti antarabangsa sering menggesa agar minoriti diberikan perlindungan sewajarnya.
Wartawan AFP menyaksikan pasukan penyelamat mengangkut mangsa dari gereja Ortodoks tersebut manakala pasukan keselamatan mengepung kawasan berkenaan. Bahagian dalam gereja itu dipenuhi serpihan kayu, bangku-bangku yang musnah, ikon-ikon keagamaan yang tumbang dan tompokan darah di lantai.
“Seorang penyerang berani mati yang berafiliasi dengan kumpulan pengganas telah memasuki Gereja Saint Elias di kawasan Dwelaa… melepaskan tembakan sebelum meletupkan dirinya dengan tali pinggang letupan,” kata kenyataan Kementerian Dalam Negeri Syria.
Agensi berita rasmi SANA, memetik Kementerian Kesihatan, melaporkan angka kematian seramai 22 orang, manakala 63 lagi cedera. – AFP


