Tuesday, April 15, 2025
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    22 maut disambar petir di timur India

    NEW DELHI, 10 APRIL – Sekurang-kurangnya 22 orang maut disambar petir di negeri Bihar, timur India, dalam tempoh 24 jam lepas, lapor media tempatan hari ini, menurut Xinhua.

    Hujan lebat dan ribut petir yang disertai sambaran petir melanda negeri itu kelmarin, menjejaskan beberapa daerah.

    “Seramai 22 orang terkorban selepas disambar petir di Bihar,” menurut laporan saluran berita televisyen tempatan, India TV, dalam satu laporan, memetik data rasmi.

    Kematian dilaporkan dari lapan daerah.

    Bagaimanapun, satu kenyataan yang dikeluarkan dari Pejabat Ketua Menteri Bihar (CMO) pada petang kelmarin, menyatakan hanya 13 orang meninggal dunia akibat disambar petir di empat daerah.

    Hujan lebat dan ribut petir di Bihar, timur India, mengorbankan sekurang-kurangnya 22 orang. – AFP

    Empat daerah itu turut dilanda ribut, hujan lebat dan hujan batu, menyebabkan kemusnahan meluas.

    Ketua Menteri Bihar Nitish Kumar menzahirkan dukacita dan simpati kepada keluarga mangsa dan mengumumkan bantuan kewangan untuk mereka.

    “Ketua Menteri mengumumkan pembayaran ex gratia sebanyak INR 400,000 (AS$4,649) kepada waris terdekat mangsa,” kata seorang jurucakap kerajaan.

    Kumar juga menggesa orang ramai untuk terus berwaspada dalam cuaca buruk dan mengikuti saranan yang dikeluarkan oleh jabatan pengurusan bencana.

    Laporan mengatakan mangsa berada di ladang ketika petir menyambar mereka.

    Setiap tahun, dengan bermulanya musim monsun, ratusan orang mati disambar petir di India. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda