
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 FEB – Atas titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, seramai 22 pegawai kanan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) telah diperkenankan untuk dinaikkan pangkat hari ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Pertahanan, Majlis Penyampaian Lencana Kenaikan Pangkat telah disempurnakan oleh Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan pada majlis di Mes Pegawai Bolkiah Garison.
Daripada jumlah pegawai kanan berkenaan, 16 pegawai dinaikkan pangkat daripada pemangku leftenan kolonel/komander (TLDB) ke leftenan kolonel/komander (TLDB) tetap dan enam pegawai dinaikkan daripada mejar/leftenan komander (TLDB) ke pangkat pemangku leftenan kolonel/komander (TLDB).
Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Pengarah Jabatanarah Agama ABDB (JAMA’AT), Komander Haji Ainolnizam bin Haji Ibrahim bagi memberkati majlis.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah setiausaha tetap di Kementerian Pertahanan, pemerintah-pemerintah angkatan tentera, pemangku pemerintah angkatan tentera, pemangku pemerintah angkatan bersama ABDB, timbalan setiausaha tetap, pengarah-pengarah dan pegawai-pegawai kanan Kementerian Pertahanan serta ahli keluarga pegawai-pegawai yang telah dinaikkan pangkat.