Tuesday, November 19, 2024
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    22 pekerja tempatan belum daftar SPK

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 NOV – Unit Penguatkuasaan Tabung Amanah Pekerja (TAP) telah melaksanakan operasi sepadu bersama dengan Unit Sukatan dan Timbangan (SDT), Bahagian Industri dan Ekosistem Perniagaan (IBE) di bawah Kementerian Kewangan dan Ekonomi ke atas 51 premis perniagaan di kawasan Kampung Madang dan Kampung Pasir Berakas, Lambak.

    Menurut kenyataan TAP, operasi tersebut bertujuan untuk menguatkuasakan akta dan peraturan seperti berikut Akta Skim Persaraan Kebangsaan (SPK) 2023 dan Akta Sukatan dan Timbangan 1983 Penggal 151.

    Hasil daripada lawatan tersebut, pegawai-pegawai pemeriksa TAP telah mendapati seramai 22 pekerja tempatan masih lagi belum didaftarkan dan dicarumkan ke dalam SPK.

    Sehubungan dengan itu, TAP mengingatkan majikan mengenai tanggungjawab mereka untuk mendaftarkan dan membayar caruman setiap pekerja yang memenuhi pensyaratan skim untuk mempunyai simpanan persaraan untuk dimanfaatkan di hari persaraan mereka nanti.

    Ini termasuklah pekerja sementara, pekerja berkontrak, pekerja bergaji hari, dan pekerja di dalam tempoh percubaan.

    Pegawai TAP dan Unit SDT semasa melaksanakan operasi sepadu tersebut. – GAMBAR SERAHAN TAP

    Di bawah Bab 35 (1), Akta SPK 2023 jika sabit kesalahan, majikan boleh didenda tidak lebih dari $3,000 bagi kesalahan pertama dan tidak lebih daripada $10,000 bagi kesalahan kedua dan seterusnya.

    TAP juga memaklumkan kepada majikan bahawa proses pendaftaran dan pembayaran caruman pekerja telah dipermudahkan dengan hanya menggunakan perkhidmatan online TAP, e-Amanah.

    Para majikan boleh melog masuk ke akaun portal e-Amanah masing-masing melalui laman sesawang TAP di www.tap.com.bn.

    Unit SDT juga mendapati sebanyak 11 unit alat timbangan digunakan bagi tujuan perniagaan yang mana tiga daripadanya gagal mematuhi Peraturan-peraturan (Penelitian) Alat-alat Sukatan dan Timbangan 1994, 3 (1) dan (2), Akta Sukatan dan Timbangan 1983 Penggal 151.

    Pihak syarikat telah dikeluarkan Notis Peringatan dan dikehendaki untuk hadir ke Pejabat Unit SDT dalam tempoh tujuh hari waktu bekerja dari tarikh notis dikeluarkan untuk memperbetulkan isu berkenaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda