Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 MEI – Seramai 22 orang pelajar Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB) cawangan Bandar Seri Begawan dan Seria telah menyahut cabaran dalam perlawanan sukan berprestij di bawah Federation of British International Schools in Asia (FOBISIA) yang berlangsung di Pattaya Thailand selama tiga hari, baru-baru ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh ISB, hari ini, menyatakan perlawanan sukan berkenaan telah melibatkan para pelajar bertanding dalam sukan renang, olahraga, T-Ball dan bola sepak di mana hanya pelajar yang terbaik dipilih untuk menyertainya.
Di samping itu, penglibatan pelajar di Sukan FOBISIA berkenaan merupakan kali pertama dalam sejarah ISB cawangan Seria. Sejak Januari, terdapat beberapa acara latihan dan perlawanan persahabatan telah dilaksanakan menjelangnya perlawanan.
Secara keseluruhannya, sebanyak 36 pingat telah berjaya dimenangi oleh pelajar ISB. Para pelajar ISB Seria turut mendapat gangsa bagi perlumbaan olahraga Mixed Relay.
Antara sekolah antarabangsa yang turut terlibat dalam perlawanan sukan berkenaan ialah dari Jepun, Thailand, Malaysia, Hong Kong dan Korea.
Menurut Ketua PE, ISB Seria, Mark Russell menyatakan meskipun pelajar-pelajar merasakan kesukaran dalam perlawanan sukan berkenaan namun ia turut mewujudkan keseronokan di mana mereka dapat menjalinkan persahabatan baharu dengan para pelajar dari sekolah antarabangsa yang lain yang begitu bertepatan dengan etos FOBISIA sebagai perlwanan persahabatan.
“Kami berharap ISB Seria akan terus menghantar murid ke acara sedemikian pada masa akan datang, dengan meraih pelbagai kejayaan dalam sebarang perlawanan yang disertai. Pastinya latihan untuk perlawanan seterusnya telahpun bermula,” ujarnya.
Sementara itu Ketua Sekolah Rendah ISB Seria, Rick Smith turut merakamkan kegembiraan menyaksikan kejayaan para pelajar yang mewakili ISB dan Brunei dalam perlawanan berkenaan.