Oleh Fadley Faisal –
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 DIS – Dalam usaha melaksanakan tanggungjawab sosial kepada masyarakat setempat, Persatuan Bahasa Arab Brunei Darussalam telah menganjurkan projek amal Hamlah Khairiyah: Al ‘Audah Ilal Madrasah 2025.
Inisiatif itu menyediakan bantuan persekolahan kepada 22 pelajar kurang berkemampuan dan anak-anak yatim dari beberapa sekolah rendah dan menengah di Daerah Brunei dan Muara.
Sumbangan disampaikan oleh Pemangku Penolong Rektor (Antarabangsa dan Perkhidmatan) UNISSA, Dr Haji Hambali bin Haji Jaili yang juga selaku Presiden Persatuan Bahasa Arab Brunei Darussalam. Turut hadir ialah naib presiden persatuan dan ahli-ahli jawatankuasa eksekutif.
Usaha tersebut menekankan komitmen persatuan untuk memupuk kebajikan masyarakat dan menyokong aspirasi pendidikan bagi golongan yang memerlukan.