Oleh Fadley Faisal
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 DIS – Dalam usaha menjalankan tanggungjawab sosial kepada masyarakat setempat, Persatuan Bahasa Arab Negara Brunei Darussalam (PBA NBD) telah mengadakan projek Hamlah Khairiyah: Al Audah Ilal Madrasah 2025 yang bertujuan memberi sumbangan bantuan persekolahan kepada anak-anak yatim dan golongan kurang berkemampuan.
Seramai 22 orang anak-anak yatim dan kurang berkemampuan di beberapa buah sekolah rendah dan menengah di daerah Brunei dan Muara telah menerima sumbangan daripada projek berkenaan yang disampaikan oleh Pemangku Penolong Rektor (Antarabangsa dan Perkhidmatan), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr Hj Hambali bin Hj Jaili yang juga selaku Ra’is PBA NBD.
Sumbangan diserahkan dalam beberapa pertemuan yang turut dihadiri Naib Ra’is dan juga Ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif PBA NBD baru-baru ini.