LAHAD DATU 19 DIS – Sebanyak 22 pendatang tanpa izin berumur antara 20 hingga 50 tahun ditahan dalam Operasi Bersepadu Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) semenjak 16 Disember sehingga semalam.
Komander ESSCom DCP, Datuk Hamzah Ahmad berkata operasi itu dijalankan termasuk bagi mengekang elemen jenayah rentas sempadan melibatkan pendatang tanpa izin di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).
“Sepanjang operasi dijalankan, 548 individu dan 290 rumah serta premis telah diperiksa.
“Pendatang asing berkenaan ditahan mengikut peruntukan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pendaftaran Negara 1959 sebelum dihantar pulang ke negara asal,” katanya dalam kenyataan hari ini. Hamzah berkata operasi itu dilaksanakan dengan kekuatan 80 anggota serta pegawai daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara, Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA). – Bernama


