Friday, December 27, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    22 penghargaan diberi sempena HPPPN ke-14

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 NOV – Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) melalui Jabatan Pertanian dan Agrimakanan bersama Jabatan Perikanan semalam telah menganjurkan Majlis Penyampaian Penghargaan Hari Peladang, Petani, Peternak dan Nelayan (HPPPN) kali ke-14 2024 berlangsung di Damai Ballroom, Aman hills.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.

    Pada tahun ini, sebanyak 22 penghargaan telah diberikan antaranya Penghargaan bagi Sektor Industri Ternakan iaitu Keluaran Tertinggi Sektor Industri Ternakan, Sumber Peningkatan Keluaran Sektor Industri Ternakan, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Ternakan Progresif dan Belia Ternakan – Bekarih, Bejarih, Belurih.

    Penghargaan bagi Sektor Industri Tanaman diberikan kepada Peladang Tanaman Wanita Berjaya, Komunal Pertanian Terhebat, Rintis Teknologi Pertanian dan Peladang Contoh dan Berdedikasi.

    Penghargaan bagi Sektor Industri Padi pula ialah Perdana Padi, Jaya Padi, Progresif Padi dan Kencana Padi. Manakala Penghargaan bagi Sektor Industri Agrimakanan untuk Pengeluar PKS Tertinggi Sektor Agrimakanan, PKS Agrimakanan Progresif, Berdaya Maju dan Penyumbang kepada Peningkatan, serta Belia Agrimakanan Aktif & Progresif
    Seterusnya Penghargaan Sektor Industri Perikanan bagi Pengeluar Ternakan Ikan dalam Sangkar Berdayatahan, Pengeluar Ternakan Ikan Air Tawar Progresif, Pengeluar Penetasan Ikan Berdaya Maju, Nelayan Penuh Masa Aktif dan Progresif, Pengeluar Pemprosesan Terbaik, PKS Produk Makanan Laut Progresif dan Pengeluar Ternakan Udang Laut Berdayatahan.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf semasa menyempurnakan penyampaian penghargaan pada majlis tersebut. – GAMBAR OLEH JAMES KON
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bergambar ramai bersama para penerima penghargaan pada majlis itu. – GAMBAR OLEH JAMES KON
    GAMBAR OLEH JAMES KON

    Penghargaan khas juga telah diberikan kepada persatuan dan syarikat yang berjasa serta berbakti dalam memberikan sokongan ke arah perkembangan dan pertumbuhan industri pertanian dan perikanan di Negara Brunei Darussalam.

    Seterusnya, sebanyak 11 penghargaan khas diberikan pada tahun ini antaranya Persatuan Peladang-peladang Brunei (PPPB) diwakili oleh Presiden PPPB, Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin; Hua Ho Department Store (Symb Bonus) diwakili oleh Lau How TecK; Hua Ho Department Store (H2) diwakili oleh Lau Haw Wei; Yuan Long Ping High-Tech Agriculture Co Ltd diwakili oleh Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Rakyat China, Tuan Yang Terutama Xiao Jianguo (wakil penerima); PT Biogene Plantation diwakili oleh Duta Besar Republik Indonesia, TYT Profesor Dr Achmad Ubaedillah (wakil penerima) dan banyak lagi.

    Selain itu, majlis tersebut juga diadakan untuk memberi pengiktirafan di atas usaha-usaha dan sumbangan para peladang, petani, penternak dan nelayan dalam menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara dan sebagai penjana makanan negara ini. Tema sambutan pada tahun ini memberi tumpuan kepada meningkatkan pengeluaran tempatan melalui produk tambah nilai iaitu Memperkasa Produk Tambah Nilai, Pemacu Ekonomi Negara. Ini adalah bagi menghayati tema berkenaan dalam mengambil kira keperluan makanan negara adalah terjamin dengan adanya usaha-usaha pengeluaran makanan tempatan.

    Bersempena dengan majlis berkenaan, Yang Berhormat Dato turut melancarkan Logo Brunei Pesticide Free.

    Program Brunei Pesticide Free (BPF) adalah salah satu inisiatif KSSUP melalui Jabatan Pertanian dan Agrimakanan yang bertujuan untuk mendukung dan memperkasa lagi usaha ke arah meningkatkan keselamatan makanan melalui penghasilan tanaman bebas racun dari ladang tempatan.

    Selain itu, sempena majlis tersebut, acara penyampaian Sijil Brunei Good Aquaculture Practice (BGAqP) turut diadakan.

    Sijil BGAqP telah diberikan kepada 3 pengusaha-pengusaha industri akuakultur yang telah diaudit oleh Jawatankuasa Pensijilan BGAqP dan didapati memenuhi kriteria pensijilan tersebut.

    Acara sampingan HPPPN tahun ini juga telah berlangsung di Pasar Kitani bermula 2 hingga 4 November dengan mempamerkan jualan produk pertanian, perikanan dan agrimakanan oleh para peladang, petani, penternak dan nelayan serta pengusaha agrimakanan dari ke empat-empat daerah.

    Selain itu, beberapa program dan aktiviti turut dijalankan seperti sesi penilaian citarasa produk yang disampaikan oleh pengusaha-pengusaha pertanian dan perikanan.

    Turut hadir, setiausaha tetap dan timbalan-timbalan setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan, pegawai dan kakitangan dari KSSUP serta jabatan-jabatan di bawahnya. Para peladang, petani, penternak dan nelayan serta pengusaha agrimakanan di seluruh negara juga dijemput pada majlis berkenaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda