Saturday, April 26, 2025
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    22 penunggang motosikal singgah di QAF Auto

    Oleh Pg Fairol RMF

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Mac – QAF Auto Sdn Bhd selaku pengedar rasmi BMW Motorrad di Brunei, baru-baru ini, telah mengalu-alukan kedatangan penunggang motosikal BMW GS Series dari beberapa buah negara di Bilik Pameran BMW, Beribi.

    Rombongan yang terdiri daripada 22 orang penunggang dari Semenanjung Malaysia, Jerman, Belgium dan Taiwan tersebut diketuai oleh marsyal dan juga penunggang BMW GS Trophy, Faizal Sukree yang merupakan pemandu pelancong antarabangsa BMW Motorrad dan pengajar yang diiktiraf.

    Perjalanan tersebut bermula di Kuching, Sarawak dan tiba di Bandar Seri Begawan sebelum meneruskan penerokaan mereka ke Sabah.

    Perhentian di bilik pameran tersebut merupakan sebahagian daripada penjelajahan Pengembaraan Borneo selama 10 hari yang meliputi jarak lebih 3,000km merentasi Sabah, Brunei dan Sarawak.

    Pengurus Besar QAF Auto Sdn Bhd, Sivakumar Krishnan berkata, “Motosikal BMW GS dan GSA terus kekal menjadi ikon dalam penjelajahan bermotosikal yang berkapasiti besar dan merupakan pilihan utama bagi pelancong dunia apabila membuat perjalanan jarak jauh, walaupun menuju wilayah pedalaman dan keadaan perjalanan yang sukar.

    Sivakumar Krishnan mengibarkan bendera Brunei menandakan pergerakan destinasi mereka yang seterusnya setelah mengunjungi Bilik Pameran BMW QAF Auto di Beribi.
    Sesi bergambar ramai bersama para penunggang BMW GS Series semasa persinggahan di Bilik Pameran BMW di Beribi.

    “Menunggang motosikal merentasi Borneo membolehkan penunggang menikmati penggabungan dari segi teknologi, ergonomik dan prestasi yang sempurna yang ditawarkan oleh motosikal tersebut,” tambah beliau.

    Menurut beliau lagi, di QAF Auto, mereka membuat perjalanan melalui inisiatif dan kerjasama serta memberikan sokongan penuh terhadap acara seperti ini.

    Sementara itu, Pengurus BMW Motorrad, Shan Tong pula berkata, dengan adanya acara seumpama ini, ia dapat menghubungkan pelbagai budaya, gaya hidup bersama rombongan penjelajahan, GS.

    “Semasa meneroka, para penunggang berkongsi minat mereka dalam motosikal tidak kira dari mana mereka datang dan bahasa apa yang mereka gunakan dan ia menjadikan sebuah keluarga besar BMW Motorrad,” jelas beliau.

    Penjelajahan tersebut dianjurkan oleh FS Adventures yang berpangkalan di Malaysia dan penganjur tempatan yang disokong oleh ADV Yard. Perjalanan selama 10 hari itu akan berakhir pada 23 Mac di Kota Kinabalu, Sabah.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda