Oleh Sim Y. H.
Gambar oleh Kementerian Pertahanan
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 MEI – Para pesara tentera yang pernah berkhidmat bersama Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) yang memerlukan bantuan serta kurang bernasib baik, terus mendapat perhatian daripada Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) di mana seramai 22 orang pesara tentera yang pernah berkhidmat bersama ABDB menerima sumbangan hasil daripada projek amal yang dinamakan Projek Kamathali Habbah, kelmarin.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan, di sini, hari ini, projek itu merupakan satu kempen menderma sambil beramal bagi program kemasyarakatan sempena Hari Ulang Tahun (HUT) ABDB ke-58.
Kenyataan menyatakan lagi bahawa bagi mewakili pengerusi sempena HUT ABDB ke-58, sumbangan telah disampaikan oleh Komandan Akademi Pertahanan, ABDB, Kolonel Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan bagi Daerah Brunei dan Muara.
Manakala itu, bagi Daerah Belait dan Tutong, sumbangan telah disampaikan oleh Pemerintah Kumpulan Gerakan Tentera Udara Diraja Brunei, Leftenan Kolonel (U) Haji Haszahaidi bin Haji Ahmad Daud.
Kenyataan menjelaskan bahawa proses mengumpulkan sumbangan itu telah diadakan mulai dari 13 Mei sehingga 3 Jun, diselaraskan melalui surau-surau yang ada di setiap perkhemahan dan garison.
Semua sumbangan seterusnya diserahkan ke pusat pengumpulan iaitu di Batalion Bantu Tentera Darat Diraja Brunei, selaku pengendali projek berkenaan dan pada 2019, acara penyampaian sumbangan telah dilaksanakan di tiga buah daerah.
Dalam bulan Ramadan yang penuh berkah ini, projek berkenaan telah mendorong anggota-anggota ABDB untuk beramal jariah bagi membantu meringankan beban penerima-penerima derma yang memerlukan bantuan dan kurang bernasib baik.

