Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 MEI – Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Cawangan Temburong dengan kerjasama Persatuan Badminton Kebangsaan Brunei Darussalam hari ini mengadakan Program Pencarian Bakat Sukan Badminton, bertempat di Dewan Belalong, Kompleks Dewan Kemasyarakatan Pekan Bangar, Temburong.
Seramai 22 orang peserta berumur di antara 11 hingga 21 tahun menyertai program tersebut. Antara pengisian program berkenaan ialah sesi latihan badminton dengan mempelajari dan mempraktikkan teknik permainan badminton yang betul dan berkesan yang dibimbing oleh Awang Saiful Rizal bin Othman dari JBS Temburong dan jurulatih persatuan tersebut.
Objektif utama program itu diadakan adalah bagi mencari bakat-bakat muda dan berpotensi bagi sukan badminton dalam kalangan penduduk Daerah Temburong untuk dibimbing, didedahkan dan diketengahkan bagi menyertai kejohanan badminton di peringkat kebangsaan, serantau dan antarabangsa. Program diakhiri dengan penyampaian sijil kepada para peserta program.