Ahad, 23 November 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    22 tamat kursus amalan hartanah

    Oleh Syahmi Hassan
    Gambar serahan Kementerian Pembangunan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 JUN – Seramai 22 orang telah menyertai Kursus Real Estate Practices Part 1 and 2 dan menerima sijil masing-masing pada majlis yang berlangsung di Dewan Betabur, Kementerian Pembangunan, kelmarin.

    Para peserta kursus pendek anjuran bersama Lembaga Penilai dan Ejen Harta Tanah (BoVEA) dan Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE), dengan sokongan AVA Brunei Chapter itu terdiri daripada ejen hartanah berdaftar dan para pekerja yang berkhidmat di bawah pengamal yang diiktiraf.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan, Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak selaku Pengerusi BoVEA, Negara Brunei Darussalam.

    Turut diraikan pada majlis itu ialah lapan orang penyampai taklimat terdiri daripada pengamal diiktiraf, pegawai-pegawai Kementerian Pembangunan dan pegawai pendidikan IBTE yang telah diberikan kepercayaan oleh lembaga berkenaan untuk mengongsikan kepakaran mereka berserta tiga orang sukarelawan yang terlibat membantu bagi kelancaran kursus.

    Kursus pendek tersebut dijalankan selama enam hari pada April lalu untuk kali kedua seumpamanya selepas mula diperkenalkan pada September 2022 menerusi memorandum persefahaman (MoU) dan Perjanjian Latihan antara pihak Kementerian Pembangunan dan IBTE.

    ATAS & BAWAH: Dr Nor Imtihan menyempurnakan penyampaian sijil kepada para peserta kursus pendek berkenaan.

    Ia dibukakan kepada para pengamal, penilai dan ejen hartanah berdaftar serta para pekerja yang berkhidmat di bawah pengamal yang tidak berkesempatan untuk mengikuti kursus pendek pada sesi pertama tahun lalu.

    Kursus diharap dapat meningkatkan keupayaan dan kepakaran anak-anak tempatan sebagai generasi pelapis bagi menjamin tahap kerjaya dalam bidang penilaian, pengurusan dan agensi hartanah di negara ini.

    Kementerian Pembangunan percaya bahawa dengan adanya kursus sedemikian akan dapat memupuk kesedaran para penilai dan ejen hartanah supaya akan sentiasa peka dengan perundangan yang berkuat kuasa di negara ini, bersikap jujur dan amanah dalam pekerjaan dan perniagaan, memahami keadaan sosiobudaya kehidupan masyarakat kita dengan bijaksana dan sentiasa meningkatkan pengalaman dengan pendidikan yang relevan bagi memantapkan tahap disiplin dan etika masing-masing sebagai seorang profesionaldan orang berdaftar pada setiap masa dan keadaan.

    Bersempena majlis itu, kementerian menggalakkan orang ramai untuk sentiasa mengesahkan mana-mana individu yang mengakui memiliki sijil pendaftaran dan sijil amalan yang sah yang mana boleh dirujuk terus dengan mudah menerusi senarai pengamal berdaftar yang sentiasa dikemas kini melalui laman sesawang BoVEA, www.bovea.gov.bn

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda