Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 FEB – Seramai 22 orang warga Kolej Pengajian Siswazah Antarabangsa (IGS) telah berjaya menamatkan Kursus Marsyal Bomba dan menerima sijil mereka, baru-baru ini.
Kursus tiga hari itu dikendalikan oleh pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat dan diadakan di Balai Bomba dan Penyelamat Berakas, Lapangan Terbang Lama dari 13 hingga 15 Februari lalu.
Para peserta telah diberikan taklimat mengenai punca kebakaran, penggunaan peralatan memadam kebakaran yang betul, prosedur keluar bangunan dan pencegahan kebakaran.
Mereka juga diberikan taklimat tentang langkah-langkah prosedur seperti cara mengambil tindakan semasa kebakaran serta pemindahan yang sistematik, prosedur yang betul dalam menggunakan alat pemadam api dan selimut api dan cara menyelamatkan diri apabila terperangkap dalam bangunan semasa kebakaran. Set kemahiran yang dipelajari itu bukan sahaja boleh digunakan dalam persekitaran kerja, tetapi juga bermanfaat kepada orang ramai sekiranya berlaku sebarang kecemasan berkaitan kebakaran.




