Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Julai – Seramai 220 orang telah memeluk agama Islam dari bulan Januari hingga Jun 2017 dan daripada jumlah tersebut, 139 orang terdiri daripada warga tempatan dan 81 yang lainnya adalah warga asing.
Menurut statistik Unit Pengislaman Pusat Dakwah Islamiah, Daerah Brunei dan Muara mencatatkan jumlah tertinggi, seramai 107 orang terdiri daripada pelbagai puak dan bangsa.
Ini diikuti Daerah Tutong sebanyak 63 pengislaman, seterusnya Daerah Belait sebanyak 41 dan sembilan pengislaman dicatatkan bagi Daerah Temburong sepanjang tempoh enam bulan tersebut.
Sementara itu, jika mengikut kumpulan puak dan bangsa yang memeluk Islam dalam tempoh ini, bangsa Iban antara yang mencatat jumlah terbanyak iaitu seramai 60 orang dan ini diikuti Puak Dusun 58, seterusnya bangsa Filipina, 52 orang.
Manakala itu, bangsa Cina seramai 34 orang dan Puak Murut dan Eropah masing-masing hanya mencatat dua pengislaman, sementara itu, lain-lain bangsa mencatat 10 pengislaman.
Daripada jumlah keseluruhan itu juga menunjukkan, 201 orang adalah terdiri daripada golongan dewasa dan 19 selebihnya terdiri daripada golongan kanak-kanak.