ANKARA, 30 Okt – Satu perbicaraan beramai-ramai untuk lebih 220 tersangka di Turki dijangka diteruskan hari ini, termasuk bekas jeneral yang dituduh menjadi ketua percubaan rampasan pada tahun lalu untuk menyingkir Presiden Recep Tayyip Erdogan.
Tersangka menghadapi hukuman penjara seumur hidup jika disabit bersalah atas pelbagai dakwaan daripada menggunakan keganasan untuk mengguling kerajaan dan parlimen, kepada membunuh hampir 250 orang.
Turki menyalahkan percubaan merampas kuasa pada 15 Julai 2016 ke atas ulama Islam Fethullah Gulen, satu dakwaan yang dinafikannya.
Gulen, yang tinggal dalam buangan di Amerika Syarikat, adalah antara beberapa daripada 221 tersangka yang dinamakan dalam pendakwaan tetapi sedang melarikan diri, dengan yang lain dijangka hadir di mahkamah.
Percubaan merampas kuasa itu meninggalkan 249 orang terkorban, tidak mengira 24 perancang rampasan yang terbunuh pada malam percubaan rampasan.
Juga di kalangan tersangka dalam salah satu pendakwaan tertinggi di Turki adalah beberapa pegawai tentera termasuk bekas komander tentera udara Akin Ozturk.
Beberapa orang yang dibicarakan dituduh memimpin “Majlis Perdamaian di Negara Sendiri,” nama perancang rampasan yang dikatakan telah diberikan kepada diri mereka pada malam penggulingan.
Kes tersebut sedang didengar di Sincan berhampiran ibu negara Ankara, di sebuah bangunan yang dibina khas untuk mendengar perbicaraan berkaitan rampasan.
Pada pembukaan perbicaraan pada Mei, perancang rampasan diejek oleh pembantah ketika mereka memasuki bilik mahkamah, dengan beberapa orang menjerit slogan yang menyokong “hukuman mati” untuk tersangka. – AFP