Friday, September 20, 2024
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    22,510 KIR Sabah berjaya dikeluarkan daripada status miskin tegar

    KOTA KINABALU, 14 OGOS – Sebanyak 22,510 ketua isi rumah (KIR) miskin tegar di dalam senarai locked figure di Sabah hingga 31 Januari tahun lepas berjaya dikeluarkan daripada status itu melalui Program Menoktahkan Kemiskinan Tegar di negeri itu.

    Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) Jabatan Ketua Menteri Sabah dalam kenyataan memaklumkan data dinamik dalam pangkalan data eKasih, bagaimanapun menunjukkan seramai 4,634 KIR masih berstatus miskin tegar dan sedang dipantau sekretariat tersebut.

    “Angka 4,634 KIR ini antaranya merupakan permohonan baharu yang berdaftar dalam sistem eKasih, tidak berdaftar dan perubahan status miskin kepada miskin tegar. Bilangan ini akan ditangani di bawah Fasa Dua Program Menoktahkan Miskin Tegar negeri Sabah.

    “Kerajaan negeri akan mengumumkan data locked figure (sasaran bilangan miskin tegar yang dikunci) yang baharu pada penghujung tahun ini,” menurut kenyataan itu hari ini.

    Pada 13 September tahun lepas, kerajaan Sabah telah memberi tanggungjawab kepada Sekretariat SMJ bagi pelaksanaan intervensi bantuan untuk menyelesaikan jumlah locked figure tersebut.

    Sekretariat SMJ juga berkolaborasi dengan Pejabat Pembangunan Negeri Sabah, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi pelaksanaan gerak kerja lapangan untuk tujuan pemprofilan, pemutihan dan pemadanan bantuan kepada 22,510 KIR tersebut.

    Menurut sekretariat itu gerak kerja di lapangan juga dibuat bagi pemadanan intervensi bantuan kepada KIR dan ahli isi rumah miskin tegar mengikut keperluan, terdiri daripada bantuan bersifat jangka masa pendek, sederhana dan panjang. – Bernama

    Gambar Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda