Oleh Syahmi Hassan
Gambar oleh Izah Azahari
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 FEB – Seramai 23 bekas pelajar Tahun 6 dari Sekolah Rendah Bengkurong, Kluster 4, telah diraikan pada majlis graduasi dan aspirasi yang diadakan di Teater Multimedia, Pusat Tingkatan Enam Sengkurong (PTES) pada hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut adalah Pengetua PTES, Haji Metusin bin Haji Jais.
Turut hadir ialah Guru Besar Sekolah Rendah Bengkurong, Dayang Atikah Rumaizah binti Dr Haji Harun, guru-guru dan kakitangan Sekolah Rendah Bengkurong, ahli-ahli persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) sekolah, serta ibu bapa dan penjaga pelajar.
Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan ucapan alu-aluan oleh guru besar Sekolah Rendah Bengkurong, diikuti dengan ucapan khas dari wakil pelajar, Dayang Nur Hannah Bazilah binti Rosley bagi menyampaikan ucapan tahniah dan penghargaan rakan-rakan graduan PSR.
Video montaj yang memaparkan galeri kenangan sekolah yang dikongsikan dalam kalangan para pelajar sepanjang tahun PSR mereka di Sekolah Rendah Bengkurong telah ditayangkan sebelum penyampaian sijil, anugerah dan hadiah oleh tetamu kehormat.
Hadiah wang tunai khas juga disampaikan kepada pelajar yang memperoleh 5A dan 4A bagi keputusan Peperiksaan PSR mereka.
Daripada 23 graduan PSR 2020 dari sekolah tersebut, empat orang pelajar berjaya mencapai 5A di mana salah seorang daripadanya sekarang mendaftar di Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan, sementara yang lain telah berpindah untuk melanjutkan pelajaran di peringkat sekolah menengah iaitu di Sekolah Menengah Sayyidina Hasan dan Sekolah Menengah Masin.
Keputusan Peperiksaan PSR tahun sebelumnya dari sekolah tersebut menyaksikan seramai 18 orang pelajar yang lulus dengan cemerlang.