HANOI, 21 MEI – Sebuah mahkamah di Vietnam hari ini, telah menjatuhkan hukuman penjara terhadap 23 pegawai dan ahli perniagaan kerana terlibat dalam eksploitasi dan eksport haram logam nadir bumi.
Perbicaraan itu berlangsung selama sembilan hari di Hanoi, susulan semakan besar-besaran oleh Jabatan Geologi Amerika Syarikat (USGS) awal tahun ini yang menurunkan secara signifikan anggaran simpanan nadir bumi Vietnam sebelum ini dianggap kedua terbesar di dunia.
Seramai 27 tertuduh menerima keputusan hukuman, termasuk bekas Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Nguyen Linh Ngoc, yang dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun kerana melanggar peraturan negara hingga menyebabkan pembaziran sumber.
Beberapa tertuduh lain menerima hukuman penjara antara beberapa tahun hingga 16 tahun, iaitu yang paling tinggi, atas pelbagai kesalahan termasuk melanggar peraturan eksploitasi sumber asli dan menyebabkan pencemaran alam sekitar. Empat orang lagi dikenakan hukuman gantung.
Menurut mahkamah, kes ini yang melibatkan eksploitasi, perdagangan dan eksport sumber mineral adalah ‘amat serius’.
Mahkamah menjelaskan bahawa sebuah syarikat bernama Thai Duong Company telah diberikan lesen perlombongan secara tidak sah bagi meneroka nadir bumi di lombong Yen Phu, di wilayah pergunungan Yen Bai di utara Vietnam dari tahun 2019 hingga 2023.
Para tertuduh yang terdiri daripada pegawai alam sekitar, ketua akauntan dan eksekutif syarikat telah menjual nadir bumi dan bijih besi dari lombong tersebut dengan nilai hampir AS$30 juta, kebanyakannya ke China.
Laporan semakan USGS tahun ini telah mengurangkan anggaran simpanan nadir bumi Vietnam daripada 22 juta tan kepada hanya 3.5 juta tan, sekali gus menggugat hasrat negara itu untuk bersaing dengan China dalam sektor penting bagi pengeluaran peranti teknologi tinggi.
Penurunan angka tersebut menjadikan Vietnam jatuh dari kedudukan kedua ke tempat keenam dalam pemegang simpanan nadir bumi dunia, di belakang China, Brazil, India, Australia dan Rusia. – AFP
