Oleh Yusrin Junaidi
TUTONG, 1 NOV – Pusat Dakwah Islamiah (PDI) melalui Bahagian Pembangunan Mualaf (Kebajikan Mualaf) dan Unit Dakwah Daerah Tutong dengan kerjasama Kumpulan Amal Jariah dan Persatuan Kereta Tahan Lasak Brunei, hari ini, telah mengungkayahkan penyerahan Infaq Jariah berupa makanan asasi kepada 23 buah keluarga mualaf yang memerlukan bantuan di kawasan pedalaman Daerah Tutong.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyerahan sumbangan kepada para penerima ialah Ketua Bahagian Pembangunan Mualaf, PDI, Dr Hajah Rohanita binti Haji Yaakub.
Sumbangan yang disampaikan adalah untuk menampung keperluan harian dan sebagai satu dakwah berkesan bagi memeduli dan memantau dari segi aspek perkembangan kehidupan serta kebajikan asnaf fakir miskin khususnya dalam kalangan mualaf seperti keperluan asasi mahupun bantuan lainnya agar terus dapat melaksanakan ibadah dengan lebih sempurna, di samping aspek penglibatan bimbingan dan penghayatan agama Islam khusus bagi mualaf di negara ini.
Penyerahan berkenaan dilaksanakan dengan mengunjungi kediaman-kediaman para mualaf di kawasan pedalaman yang juga dapat mengeratkan hubungan silaturahim dan mengetahui keadaan taraf kehidupan para mualaf.
Terdahulu, acara dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Al-Fatihah oleh pegawai PDI bertempat di Masjid Al-Ameerah Al-Hajah Maryam.
Seterusnya rombongan bergerak ke Masjid Biong di mana bantuan diserahkan kepada salah seorang mualaf di Kampung Lamunin iaitu Dayang Nur Latifah Lenteh binti Abdullah @Lenteh Anak Anggal.
Turut menyertai rombongan berkenaan ialah pegawai dan kakitangan dari Bahagian Pembangunan Mualaf (Kebajikan Mualaf), dan Unit Dakwah Daerah Tutong, berserta ahli jawatankuasa dan ahli-ahli Kumpulan Amal Jariah.
