JAKARTA, 4 NOV – Jumlah mangsa hilang akibat banjir kilat di wilayah Nduga, Indonesia meningkat kepada 23 orang berbanding 15 sebelum ini, menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara (BNPB) hari ini.
Daripada jumlah tersebut, lapan mangsa telah dilaporkan hilang di daerah Yuguru, manakala 15 lagi di daerah Dal yang dihanyutkan arus deras selepas mengabaikan amaran untuk tidak menyeberangi Sungai Panpan ketika hujan lebat pada Sabtu lalu.
“Agensi Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) Nduga bersama pasukan kecemasan dan penduduk tempatan kini sedang melaksanakan operasi mencari dan menyelamat,” kata jurucakap BNPB, Abdul Muhari dalam kenyataan media.
Menurut agensi itu, beberapa kawasan di barat daya Papua diramal mengalami hujan tahap sederhana hingga lebat hari ini, disertai kilat serta angin kencang.
BNPB menggesa pihak berkuasa tempatan dan penduduk agar terus berwaspada terhadap risiko banjir dan tanah runtuh, memantau perkembangan cuaca, serta bersiap sedia untuk berpindah jika perlu. – Bernama


