BUENOS AIRES, 1 NOV – Sekurang-kurangnya 23 orang maut dalam tunjuk perasa-an antikerajaan bagi membantah dasar-dasar ekonomi di Chile, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik kenyataan Pejabat Pendakwa negara itu.
Dalam satu kenyataan di media sosial semalam, Pejabat Pendakwa Chile berkata kematian terbabit berlaku antara 19 Oktober ketika perintah darurat diisytihar, dan 26 Oktober.
Kenyataan itu menyebut 16 orang maut selepas dijadikan tebusan dan dirompak, lima terbunuh ketika bertempur dengan pasukan keselamatan dan dua lagi meninggal dunia semasa berada dalam tahanan.
Identiti seorang penunjuk perasaan yang dibakar sehingga mati belum dikenal pasti, namun siasatan berhubung kes itu sedang dilakukan.
Tunjuk perasaan antikerajaan itu, yang bermula sebagai tindak balas terhadap kenaikan tambang pengangkutan awam yang kini digantung, telah bertukar ganas pada 19 Oktober.
Semasa rusuhan berlaku, sejumlah 49 stesen kereta api bawah tanah dimusnahkan dan 26 bas telah dibakar.
Lebih 9,200 orang telah ditahan di seluruh negara, menurut Kementerian Kehakiman.
Para penunjuk perasaan merancang untuk mengadakan lebih banyak bantahan secara besar-besaran pada hujung minggu untuk mendesak peletakan jawatan Presiden Sebastian Pinera, yang telah menggantikan lapan anggota kabinet termasuk menteri dalam negeri dan menteri kewangan.
Pada 18 Oktober, penunjuk perasaan melompat melepasi lawang putar di stesen metro di Santiago tanpa membayar harga tiket sebagai membantah kenaikan tambang sebanyak empat peratus.
Pinera turut mengumumkan beberapa konsesi, termasuk menarik balik keputusan menaikkan tambang, meningkatkan gaji minimum dan menangguhkan kenaikan caj elektrik sehingga tahun depan dalam usaha mengekang tunjuk perasaan itu. – Bernama
