KABUL, 30 Nov – Lima lelaki, lapan wanita dan 10 kanak-kanak terbunuh dalam insiden serangan udara di wilayah Helmand, selatan Afghanistan, hari ini.
Misi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Afghanistan (UNAMA) berkata tiga kanak-kanak turut cedera dalam serangan di daerah Garmser itu.
Menurut agensi berita Xinhua memetik kenyataan UNAMA, serangan dilancarkan pasukan pro-kerajaan untuk memerangi kumpulan militan Taliban.
Bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini terdapat peningkatan mendadak kecederaan orang awam akibat serangan udara, berbanding tempoh sama tahun lepas.
Data yang dikumpulkan UNAMA menunjukkan seramai 649 orang awam maut antara 1 Januari dan 30 September. – Bernama