Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 NOV – Sekolah Menengah Katok telah mengadakan Majlis Penyampaian Sijil bagi meraikan pencapaian 23 pelajar dalam menyempurnakan aktiviti pembungkusan rempah Syarikat Sabli Food Industries (B) Sdn. Bhd. dan 8 guru pengawas bagi tahun 2025, yang berlangsung baru-baru ini.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian sijil kepada para pelajar dan guru, Pengurus Syarikat Sabli Food Industries (B) Sdn. Bhd., Awang Haji Mohd. Nooh bin Orang Kaya Maharaja Dinda Haji Saman.
Turut hadir semasa majlis berkenaan, Pengetua sekolah, Penroose Saleha binti Haji Mohammad Salleh, Dr. Andree Asmara bin Haji Abidin, Ketua Unit Pendidikan Kerjaya, Jabatan Sekolah-Sekolah (JSS), Hajah Siti binti Pungut, Timbalan Pengetua Pentadbiran dan Cikgu Hajah Suryani binti Haji Mahmud, Penolong Guru Kanan Akademik I.
Di majlis itu, Pengetua Sekolah Menengah Katok, Penroose Saleha binti Haji Mohammad Salleh merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak Sabli Food Industries (B) Sdn. Bhd. dan pihak Jabatan Sekolah-Sekolah (JSS) atas aktiviti pembungkusan rempah yang merupakan projek kerjasama sejak 2015 yang dilaksanakan di beberapa sekolah menengah kerajaan yang terpilih.

Sekolah Menengah Sayyidina Abu Bakar merupakan sekolah peneraju bagi projek kerjasama ini, manakala Sekolah Menengah Katok mula melaksanakan projek ini pada tahun 2017 bersama dengan Sekolah Menengah Pengiran Isteri Hajah Mariam.
Beliau seterusnya berharap agar projek kerjasama itu akan dapat diteruskan dalam masa terdekat kerana ia membantu membangunkan kemahiran kebolehpasaran pelajar dan pelajar juga memperoleh pengalaman kerja sebagai persediaan untuk penempatan latihan kerja dan pekerjaan selepas tamat program.
Selain menambah, sijil itu amat bernilai dalam portfolio peribadi masa depan pelajar dan sebagai salah satu bukti pencapaian pelajar semasa belajar di sekolah ini.
Semasa majlis berkenaan, Ketua Unit Pendidikan Kerjaya, Jabatan Sekolah-Sekolah Dr. Andree Asmara bin Haji Abidin, yang merupakan pegawai fokal projek ini menyampaikan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Syarikat Sabli Food Industries (B) Sdn. Bhd. dan Sekolah Menengah Katok atas sokongan dalam menjayakan projek. Beliau menyeru kepada pihak sekolah agar memanfaatkan projek ini sebaik mungkin.
Aktiviti pembungkusan rempah ini adalah merupakan projek kerjasama antara pihak Syarikat Sabli Food Industries (B) Sdn. Bhd. dan pihak JSS, Kementerian Pendidikan sejak tahun 2015 bertujuan membina kemahiran kebolehpasaran dan menimba pengalaman asas kerja.
Pada masa ini, terdapat empat buah sekolah menengah kerajaan yang terpilih melaksanakan projek ini iaitu Sekolah Menengah Sayyidina Abu Bakar, Sekolah Menengah Sufri Bolkiah, Sekolah Menengah Katok dan Sekolah Menengah Pengiran Isteri Hajjah Mariam.

