Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    23 pelajar SM Sayyidina Hasan lawat Republik Singapura

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 OGOS – Kementerian Pendidikan, Negara Brunei Darussalam, melalui Jabatan Sekolah-sekolah, telah menyelaras penyertaan delegasi Sekolah Menengah (SM) Sayyidina Hasan yang terdiri daripada 23 orang pelajar Tahun 7 hingga 11 serta 10 orang guru dan dua orang pemimpin SM dari Kluster 4 bagi Program Pengantarabangsaan dan Lawatan Sambil Belajar ke Republik Singapura yang berlangsung selama lima hari iaitu bermula hari ini hingga 15 Ogos.

    Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat berlepas kepada delegasi berkenaan ialah Pengarah Sekolah-sekolah, Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan, Hajah Marina Chek binti Bujang.

    Turut hadir di lapangan terbang ialah pegawai-pegawai Kementerian Pendidikan dari Jabatan Sekolah-sekolah, pentadbiran SM Sayyidina Hasan serta ibu bapa dan ahli keluarga para pelajar.

    Program tersebut merupakan jemputan serta lawatan balas ke SM Temasek, Republik Singapura, susulan lawatan sekolah berkenaan ke SM Sayyidina Hasan pada 29 Mei 2024.

    Matlamat utama program itu adalah untuk memperluas pengalaman dan pengetahuan guru serta pelajar dalam aspek pengajaran serta pembelajaran bagi mata pelajaran yang ditawarkan di kedua-dua sekolah.

    Hajah Marina Chek serta pegawai-pegawai Kementerian Pendidikan bergambar ramai dengan delegasi SM Sayyidina Hasan. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN
    Hajah Marina Chek mengucapkan selamat berlepas kepada delegasi SM Sayyidina Hasan. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN

    Di samping itu, delegasi guru dan pemimpin sekolah tersebut turut diharapkan dapat memperluas pengetahuan dan memperkaya pengalaman dalam aspek pengurusan pentadbiran sekolah, pelaksanaan program serta penganjuran aktiviti sekolah.

    Selain itu, program itu dijangka akan dapat memperkukuh hubungan dan kerjasama serantau antara sekolah-sekolah di rantau ASEAN dengan sekolah-sekolah di Negara Brunei Darussalam, khususnya melibatkan guru-guru yang terlibat.

    Ia juga bertujuan memupuk jati diri, disiplin serta kemahiran komunikasi bagi para guru dan pelajar di peringkat antarabangsa.

    Seterusnya, program itu turut diharapkan dapat memberikan pendedahan yang berharga kepada pelajar mengenai budaya dan gaya hidup pelajar di luar negara, khususnya di bandar raya besar yang sedang pesat membangun.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda