BANDAR SERI BEGAWAN, 18 OGOS – Seramai 23 pelajar dari Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah dianugerahi biasiswa oleh Hengyi Industries Sdn Bhd dalam satu majlis menandatangani biasiswa yang berlangsung di The Empire Brunei.
Majlis menandatangani biasiswa itu disaksikan oleh tetamu kehormat, Pemangku Menteri Tenaga, Dato Seri Paduka Haji Matsatejo bin Sokiaw. Menandatangani bagi pihak Hengyi Industries ialah Ketua Pegawai Eksekutif Hengyi Industries, Chen Lian Cai sementara pelajar menandatangani perjanjian mereka masing-masing dengan disaksikan ibu bapa mereka sebagai penjamin.
Turut hadir pada majlis adalah Naib Canselor UBD, Datin Dr Hajah Anita Binurul Zahrina binti Pehin Orang Kaya Laila Wijaya Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Aziz dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Rakyat China ke Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Yu Hong. Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan, ini merupakan kumpulan pelajar ketujuh yang menerima biasiswa di bawah Program Biasiswa Kejuruteraan Kimia dan Proses Bersama yang ditubuhkan oleh Hengyi Industries bersama UBD dan Universiti Zhejiang, membawa jumlah keseluruhan biasiswa yang dianugerahkan kepada 103.
Sebagai sebahagian daripada Program Biasiswa Bersama, para pelajar akan meneruskan pembelajaran dan latihan industri mereka di Universiti Zhejiang untuk tempoh satu setengah tahun. Sepanjang program, penerima biasiswa berpeluang memperoleh pengalaman langsung bekerja di kilang pengeluaran sebenar semasa latihan enam bulan di kilang petrokimia Hengyi Industries di China. Selepas menamatkan program, 23 penerima biasiswa akan ditawarkan peluang pekerjaan di Hengyi Industries Sdn Bhd.
Sejak program biasiswa ditubuhkan, 57 pelajar telah menamatkan pembelajaran mereka dan menyertai kumpulan tenaga kerja profesional Hengyi Industries. Program biasiswa itu dijangka menghasilkan 11 siswazah tambahan untuk diambil bekerja pada September 2020.