Wednesday, October 16, 2024
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    23 pelajar universiti berlepas ke India

    Oleh Sim Y. H.

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Jan – Program Pertukaran Pelajar ASEAN-India memberikan peluang yang amat baik bagi para pelajar daripada negara-negara anggota ASEAN untuk bukan sahaja mengenali dan melihat dengan lebih dekat perkembangan terkini India tetapi juga untuk mengeratkan persefahaman di antara warga ASEAN dan India.

    Sehubungan dengan itu, rombongan seramai 23 orang pelajar daripada tiga buah universiti di Negara Brunei Darussalam iaitu Universiti Brunei Darussalam, Universiti Teknologi Brunei dan Universiti Islam Sultan Sharif Ali, berlepas ke India untuk menyertai Program Pertukaran Pelajar ASEAN-India bermula 14 Januari hingga 23 Januari.

    Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, hari ini, untuk mengucapkan selamat berlepas dan memberikan kata-kata nasihat kepada rombongan seramai 23 orang pelajar universiti berkenaan ialah Setiausaha Pertama Suruhanjaya Tinggi India di Negara Brunei Darussalam, Ravi Chandar.

    Sebelum rombongan berlepas ke India, Ravi Chandar ketika beramah mesra dengan para ahli rombongan menyatakan harapan bahawa lawatan itu bukan sahaja memberikan peluang kepada mereka untuk mengenali dengan lebih dekat mengenai perkembangan terkini di India tetapi segala pengalaman dan ilmu pengetahuan yang diperoleh sepanjang program itu, akan dapat dikongsi dan dimanfaatkan bagi kepentingan bersama dengan rakan-rakan sebaya serta juga dalam pembangunan negara.

    Beliau menjelaskan bahawa program pertukaran itu merupakan antara program yang dilaksanakan bersempena dengan ulang tahun ke-25 Perkongsian Dialog ASEAN-India di mana para peserta program dari Brunei akan bertemu dengan peserta-peserta program dari negara-negara ASEAN di mana mereka akan mengadakan lawatan ke Mumbai, Pune, New Delhi dan Agra.

    Ravi Chandar bergambar ramai dengan rombongan pelajar dari tiga buah universiti yang menyertai Program Pertukaran Pelajar ASEAN-India bermula 14 hingga 23 Januari.

    Program pertukaran itu adalah sebahagian daripada Program ASEAN-India dan dianjurkan oleh Confederation of Indian Industry (CII) bersama Kementerian Hal Ehwal Luar India dan Sekretariat ASEAN.

    Semasa program lawatan itu, para peserta akan mengadakan lawatan sambil belajar ke beberapa buah institusi terpilih di India termasuk institusi perniagaan, pendidikan, bursa saham Bombay, industri filem Bollywood serta kawasan-kawasan pelancongan yang menarik.

    Semasa lawatan itu juga, para peserta akan berinteraksi dengan pegawai-pegawai kanan dan warga India yang berpengaruh daripada pelbagai bidang termasuk Pesuruhjaya Pilihan Raya India.

    Lawatan itu bukan sahaja diharap akan memberikan peluang untuk mengeratkan lagi hubungan persahabatan dan persefahaman di antara negara-negara anggota ASEAN dan India tetapi juga meningkatkan lagi pertukaran kebudayaan serta kerjasama di antara penduduk ASEAN dan India.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda