IRAPUATO, MEXICO, 6 DIS – Sekumpulan lelaki bersenjata menculik 23 pesakit dari sebuah klinik pemulihan penagih dadah, sebelum membebaskan 13 daripada mereka, termasuk beberapa yang dikesan mengalami kecederaan, kata sumber rasmi.
Menurut saksi, sekumpulan besar lelaki bersenjata itu tiba di klinik di Irapuato dengan menaiki beberapa kenderaan, Rabu lalu dan menyerbu premis berkenaan.
“Kami mempunyai senarai kesemua 23 mangsa, termasuk 13 yang dibebaskan, manakala 10 lagi masih hilang.
“Ada antara mereka mengalami kecederaan dan enggan menceritakan apa yang berlaku,” kata pendakwa negeri Guanajuato, Carlos Zamarripa kepada wartawan. Guanajuato, hab perindustrian dan pelancongan kebelakangan ini berdepan jumlah keganasan yang semakin meningkat.
Presiden Andres Manuel Lopez Obrador kini sedang bergelut membasmi keganasan, sebahagian besarnya berpunca daripada kartel dadah di Mexico. – AFP