Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Ogos – Seramai 23 orang peserta Kursus Latihan Pengurusan Pengetahuan anjuran SEAMEO VOCTECH telah menerima sijil penyertaan pada majlis penutup petang tadi.
Pengarah Pusat Serantau SEAMEO VOCTECH, Dr Haji Zamri bin Haji Sabli dalam ucapan alu-aluannya berkata bahawa kursus selama tiga hari tersebut diharap dapat membekalkan para peserta dengan kemahiran dan kefahaman yang tinggi terhadap kepentingan serta peranan pengurusan pengetahuan dalam kerjaya harian mereka.
“Saya yakin melalui kursus ini, kesemua peserta akan dapat memberikan sumbangan yang sangat beharga dalam dalam meningkatkan daya saing organisasi di institusi masing-masing,” jelas beliau.
“Pengetahuan merupakan suatu perkara besar dan aset penting bagi setiap individu dan organisasi. Dengan sistem pengurusan pengetahuan yang kukuh dan jelas, ia akan dapat membentuk organisasi mengurangkan kesilapan sekali gus memacu prestasi ke arah yang lebih baik,” tambahnya.

Beliau turut menyenaraikan lima sebab penting untuk menguasai pengurusan pengetahuan dalam setiap organisasi iaitu mempercepatkan akses kepada informasi dan pengetahuan, memperbaiki proses dalam membuat suatu keputusan, menggalakkan inovasi dan perubahan budaya, memperbaiki operasi dan proses-proses organisasi serta meningkatkan kepuasan pelanggan.
Pengurusan pengetahuan merupakan pengurusan yang sistematik dalam aset pengetahuan sesebuah organisasi seperti dalam bentuk dokumen, dasar atau pangkalan data untuk mewujudkan nilai dan memenuhi keperluan strategi.
Pengurusan pengetahuan terdiri daripada inisiatif, proses, strategi dan sistem yang menyokong serta meningkatkan penyimpanan, perkongsian, penghalusan dan penciptaan ilmu pengetahuan.
Dr Haji Zamri pada majlis tersebut turut menyampaikan sijil kepada fasilitator kursus, Andrew Cheah yang merupakan jurulatih dan konsultan pengurusan dari Malaysia.