Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    23 peserta memperdengarkan bacaan Al-Quran

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 NOV – Seramai 23 peserta terdiri daripada 18 orang qari dan lima qariah telah memperdengarkan bacaan masing-masing pada hari pertama Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan Tahun 1447 Hijrah/2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Muzakarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.

    Musabaqah berlangsung selama tiga hari berturut-turut bermula hari ini hingga 12 November.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada sesi pagi, Pemangku Pengarah Pusat Dakwah Islamiah, Haji Ahmad Abdussalam bin Haji Abdul Rahman manakala pada sesi petang, Pengarah Perundangan Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dr Haji Hardifadhillah bin Haji Mohd Salleh.

    Haji Ahmad Abdussalam hadir selaku tetamu kehormat pada sesi pagi.
    Salah seorang peserta memperdengarkan bacaan untuk sesi pagi.

    Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Saringan Kebangsaan Tahun 1447 Hijrah/2026 Masihi anjuran Jabatan Hal Ehwal Masjid, KHEU, telah diadakan di Masjid Setia ‘Ali, Pekan Muara pada 21 hingga 23 Oktober lalu dan telah memperdengarkan bacaan 41 peserta, terdiri daripada 32 qari dan sembilan qariah.

    Selain itu, 10 peserta iaitu lima qari dan lima qariah merupakan peserta menunggu dari Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1446 Hijrah/2025 Masihi.

    Gambar atas & bawah, antara yang hadir di majllis itu. – GAMBAR-GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    Manakala 17 qari terdiri daripada peserta yang memperoleh markah 80 peratus ke atas selama tiga tahun berturut-turut di peringkat separuh akhir kebangsaan, termasuk johan qari Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan Peringkat Akhir Tahun 1446 Hijrah/2025 Masihi.

    Majlis pengumuman keputusan serta penyampaian hadiah dan cenderamata kepada para peserta dan hakim akan diadakan pada 13 November pada pukul 1:45 petang di tempat yang sama.

    Musabaqah ini turut disiarkan secara langsung melalui akaun Instagram rasmi KHEU, @kheu.brunei dan platform Microsoft Teams di pautan https://tiny.cc/kheumusabaqah.

    Penganjuran musabaqah ini dihasrat untuk memajukan dan mengembangkan lagi bidang Al-Quran, selain mendorong masyarakat ke arah celik Al-Quran serta menjadi wadah dan zikir dalam mendekatkan diri kepada Allah SWT dan memohon perlindungan daripada sebarang kelalaian.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda