Saturday, May 10, 2025
31.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    23 polis dilapor cedera dalam bantahan Niger

    NIAMEY, 30 Okt – Seramai 23 anggota polis cedera manakala balai polis dibakar dalam bantahan ke atas reformasi kewangan lewat kelmarin di bandar Niamey, Niger, lapor menteri dalam negeri dan stesen TV swasta.

    “Dukacita jumlahnya adalah tinggi: 23 anggota polis cedera, empat daripadanya cedera parah. Sebanyak 14 kenderaan telah musnah, 10 daripadanya adalah kenderaan polis,” kata Menteri Dalam Negeri, Mohamed Bazoum di televisyen kelmarin.

    Komisariat polis di pasar Habou Bene, tempat perdagangan terbesar negara telah dibakar dan bangunan hadapan perumahan Suruhanjaya Pilihan raya Kebangsaan Bebas (CENI), pemerhati pengundian Niger telah dirosakkan, lapor televisyen swasta.

    “Kesemua yang bertanggungjawab terhadap perkara ini akan mendapat balasan atas tindakan mereka,” kata Bazoum.

    Organisasi masyarakat awam tempatan selama berminggu-minggu telah mengecam bajet 2018 kerana mengenakan pelan jimat cermat ke atas negara yang paling miskin di dunia ini.

    Bazoum berkata kumpulan awam yang digelar Actice – Persatuan bagi Mempertahankan Hak Pengguna Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Tenaga – yang telah menerima kebenaran untuk mengadakan bantahan kelmarin telah dibubarkan. Lebih 1,000 penunjuk perasaan berhimpun berhampiran pusat bandar untuk mengadakan bantahan ke atas pelan kewangan kerajaan yang mereka gelar ‘antisosial’ dan berkata menubuhkan cukai-cukai baru. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda