HANOI, 7 SEPT – Kejadian kebakaran yang meranapkan sebuah pusat karaoke di selatan Vietnam telah mengorbankan kira-kira 23 orang manakala 11 lagi mengalami kecederaan, menurut pegawai tempatan hari ini.
Kebakaran itu memusnahkan tingkat dua dan tiga bangunan pada malam kelmarin, memerangkap pelanggan dan kakitangan dengan asap tebal memenuhi laluan tangga dan menghalang pintu kecemasan, menurut laporan media.
Ramai yang menuju ke balkoni untuk menyelamatkan diri daripada kebakaran, yang merebak dengan pantas kerana bahagian dalaman bangunan diperbuat daripada kayu, dan lainnya terpaksa melompat ke bangunan bersebelahan, tambah laporan.
Gambar-gambar yang tersebar menunjukkan kepulan asap keluar dari bangunan tersebut – terletak di kawasan perumahan yang padat di bandar Thuan An, hab komersial di utara bandar Ho Chi Minh – ketika anggota bomba ber-usaha untuk memadam kebakaran.
Pegawai tempatan mengesahkan kepada AFP bahawa 23 orang maut dan 11 lagi cedera dalam kebakaran tersebut.

“Pasukan penyelamat masih mencari mangsa di tempat kejadian. Punca kebakaran masih disiasat,” kata Nguyen Thanh Tam, pegawai kanan dalam parti pemerintah komunis di Thuan An, memberitahu AFP.
Seorang saksi Nguyen Sang, yang tinggal berhampiran pusat karaoke, memberitahu laman berita VnExpress bahawa apabila trak bomba sampai di tempat kejadian, seorang penyambut tetamu berkata kira-kira 40 orang masih terperangkap di dalam bangunan.
“Ramai yang berlari keluar melalui pintu utama, tetapi ada yang tidak tahan dengan haba dan melompat turun, menyebabkan tangan dan kaki mereka patah,” kata Sang.
Anggota penyelamat mencari mangsa yang terperangkap dalam pusat karaoke yang mempunyai 30 buah bilik, menurut media negara.
Kebakaran tersebut merupakan yang terburuk di Vietnam sejak 2018, apabila 13 orang maut dalam kebakaran di sebuah kompleks apartmen di bandar Ho Chi Minh.- AFP