BANDAR SERI BEGAWAN, 4 MAC – Seramai 23 warga asing telah ditahan semasa Operasi Bersepadu Kabat 29/2024 dan dibawa ke Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang (BPU), Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) bagi siasatan lanjut atas kegagalan mengemukakan dokumen.
Menurut kenyataan JIPK, operasi itu dijalankan dengan Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Buruh dan Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan.
Semasa operasi berkenaan beberapa buah bangunan komersial di Mukim Berakas A telah disasarkan yang melibatkan pemeriksaan secara keseluruhan ke atas 209 orang warganegara asing.
Daripada 23 warga asing yang ditahan itu, dua wanita Indonesia telah pun didakwa dengan pendakwaan dibuat di hadapan Majistret Syaffina binti Shahif dan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa JIPK, Awang Mohammad Zul Azri bin Haji Ranee.
Endang Psw Sumitro, 53, dijatuhkan hukuman di bawah Bab 15(1), Akta Imigresen, Penggal 17 iaitu tinggal lebih masa setelah pas imigresennya mansuh dan dikenakan hukuman penjara empat bulan dan denda sebanyak $800 sebagai gantian kepada sebatan. Bagaimanapun disebabkan gagal membayar denda tersebut, dia dijatuhkan hukuman penjara lima bulan.


Manakala itu, Ida Suriyanti, 47, dijatuhkan hukuman di bawah Bab 15(1), Akta Imigresen, Penggal 17 iaitu tinggal lebih masa setelah pas imigresen mansuh dan dihukum penjara tujuh bulan dan denda sebanyak $800 sebagai gantian sebatan. Dia juga gagal membayar denda dan menjadikan hukuman penjaranya kepada lapan bulan.
Sementara itu, hasil pemeriksaan yang dijalankan oleh Jabatan Buruh, mendapati beberapa kesalahan di bawah Perintah Pekerjaan 2009 iaitu di bawah Bab 10, tiada penyediaan kontrak pekerjaan; Bab 112 (2), kesalahan melanggar syarat-syarat Lesen Pekerja Asing dan Bab 80, tempat tinggal pekerja asing pada tahap kebersihan dan keselesaan yang tidak memuaskan. Jabatan Buruh juga mendapati kesalahan melibatkan kesejahteraan pekerja seperti majikan gagal memberikan cuti rehat dan cuti awam.
Manakala itu, hasil pemeriksaan yang dijalankan oleh Jabatan Bandaran mendapati tiga warga asing dan seorang warga tempatan dikenakan kompaun $100 setiap seorang atas kesalahan di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Rampaian Penggal 30 (Pindaan 2021) dan diberikan tempoh tujuh hari untuk menjelaskan kompaun yang dikenakan.
Selain itu, sebanyak 21 premis perniagaan juga diarahkan untuk mengemas barang-barang perniagaan yang menghalang laluan kaki lima dan jalan laluan orang ramai dengan serta-merta dengan dua individu turut diarahkan untuk melaporkan diri ke Jabatan Bandaran bagi siasatan lanjut.
Operasi tersebut adalah salah satu usaha berterusan agensi-agensi penguat kuasa undang-undang di Negara Brunei Darussalam dalam misi membanteras dan membendung kegiatan-kegiatan yang melanggar undang-undang dan peraturan-peraturan yang dikuatkuasakan di negara ini.

