Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Mac – Seramai 23 orang kakitangan Hanafi Consultant yang telah lama berkhidmat diraikan dalam Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-25 firma konsultan berkenaan yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong yang turut menyampaikan anugerah kepada kakitangan perkhidmatan lama.
Hanafi Consultant merupakan konsultan profesional juruukur bahan dan kos pembinaan yang ditubuhkan oleh Haji Mohammad Hanafi, anak tempatan pertama yang memiliki 100 peratus firma perunding juruukur bahan pada tahun 1992.

Selain itu, ia juga merupakan firma QS pertama diperakui ISO 9001: 2008 oleh juruaudit antarabangsa TUB SUD dan MPS pada tahun 1997.
Firma berkenaan juga terlibat menjayakan beberapa projek yang menjadi mercu tanda Negara Brunei Darussalam antaranya Balai Pameran Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam, Ibu Pejabat DST di Tungku Link Road dan beberapa projek skim perumahan negara. Majlis diserikan dengan tayangan video mengenai latar belakang dan kejayaan Hanafi Consultant.