Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OKT – Seramai 230 orang murid (108 lelaki dan 122 perempuan) Darjah Pra hingga Darjah 5 dari 17 buah sekolah di bawah Kawasan Brunei I yang mengikuti Program Satu Minggu, Satu Juzuk (1M1J) telah diraikan dalam majlis khatam Al-Quran yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, kelmarin.
Turut menyertai majlis khatam kali ini ialah cucunda-cucunda Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Pengiran Nur Aleeyah Syifa binti Pengiran Anak Haji Mohammad Al-Mokhtar dan Mohammad Asyraf As-Seddiq. Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Ekonomi dan Kewangan) di Jabatan Perdana Menteri, Pengiran Hajah Siti Nirmala binti Pengiran Haji Mohammad. Turut hadir ialah Yang Amat Mulia Pengiran Anak Haji Mohammad Al-Mokhtar dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Hajah Ameenah Bushral Bulqiah. Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah sebelum para peserta membaca surah-surah Al-Quran bermula daripada Adh-Dhuha hingga An-Nas.
Kemudian, bacaan Takhtim dipersembahkan oleh guru-guru agama perempuan Kawasan Brunei I dan Doa Khatam Al-Quran pula dibacakan oleh salah seorang peserta khatam dari Sekolah Ugama Pelambayan, Awang Muzaffar U’Kasyah bin Azman.
Tetamu kehormat seterusnya mendahului upacara merenjis minyak serta menyampaikan sijil penyertaan diikuti para jemputan khas, ibu bapa dan penjaga peserta sambil diiringi persembahan Dikir Marhaban oleh guru-guru agama lelaki kawasan Brunei I.
Majlis berkenaan bertujuan untuk memantapkan lagi mutu bacaan Al-Quran murid-murid di sekolah agama menerusi amalan membaca Al-Quran secara bertalaqqi sekali gus menyuntik dan mendidik murid-murid agar sentiasa membaca, mencintai, mendengar Al-Quran sebagai amalan harian mereka.
Penyertaan murid-murid seawal Darjah Pra sehingga Darjah 5 dalam Program 1M1J itu juga diharap akan dapat melahirkan murid-murid yang dapat menguasai bacaan Al-Quran secara bertajwid dan lancar seawal usia kanak-kanak.


