Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 OGOS – Seramai 236 pelajar yang menerima tawaran untuk melanjutkan pengajian di Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), kelmarin, telah menghadiri Majlis Kesyukuran Minggu Ta’aruf ke-13 bagi pengambilan sesi 2019/2020 di Dewan Tarbiyah, KUPU SB.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis adalah Pemangku Bendahari KUPU SB, Awang Khairul Shaffarani bin Haji Hamidon.
Majlis dimulakan dengan bacaan ikrar pelajar pengambilan ke-13 sesi 2019/2020 yang diketuai oleh mahasiswa Program Diploma Tertinggi Perguruan Agama, Awang Muhammad Amir Hamzah bin Zulkfli dan diteruskan dengan tayangan video Minggu Ta’aruf sesi ke-13 manakala bacaan Doa Kesyukuran dibacakan oleh Awang Muhammad Muizzudin bin Pauji.
Minggu Ta’aruf ini merupakan aktiviti tahunan yang dikelolakan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar KUPU SB khusus untuk pelajar-pelajar baharu kolej tersebut yang berlangsung selama enam hari bermula 29 Julai.
Majlis itu bertujuan untuk memperkenalkan KUPU SB sebagai sebuah institusi perguruan tinggi di negara ini yang berfungsi bagi memartabatkan pengajian perguruan agama bagi melahirkan pendidik melalui pengintegrasian ilmu, latihan, kajian, perkhidmatan, keterampilan, teknologi dan jati diri berasaskan prinsip-prinsip Islam dan falsafah pendidikan negara.
Program tersebut juga bertujuan bagi memberi pendedahan tentang kepentingan memahami falsafah, visi dan misi KUPU SB selain diharapkan dapat memberi pendedahan kepada pelajar mengenai budaya hidup di KUPU SB dalam konteks kemahiran mengurus masa, budaya menuntut ilmu, rutin harian dan juga peraturan yang ditetapkan di KUPU SB.
KUPU SB setakat ini menawarkan pelbagai program pengajian seperti Ijazah Doktor Falsafah Perguruan Ugama, Ijazah Sarjana Perguruan Ugama, Diploma Perguruan Ugama Lepas Ijazah, Ijazah Sarjana Muda Perguruan Ugama, Diploma Tertinggi Perguruan Ugama dan Diploma dalam Bidang Pengkhususan.
