Saturday, December 7, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    236 pelatih Program Jati Diri diraikan

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    TEMBURONG, 12 NOV – Seramai 236 orang pelatih Program Jati Diri kohort 4 dan 5 telah diraikan dalam Majlis Khatam Al-Quran di Kem Latihan Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) Batu Apoi, Daerah Temburong, hari ini.

    Majlis dianjurkan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) melalui Bahagian Khidmat Bakti Negara (BKBN) dengan kolaborasi Manpower Planning and Employment Council (MPEC), Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE), Kementerian Pendidikan.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Setiausaha Tetap (Kebeliaan) di KKBS, Haji Zakaria bin Haji Serudin dan Pemangku Pengarah Khidmat Bakti Negara, Mejar (B) Haji Mohammad bin Dollah selaku pengerusi majlis.

    Turut hadir ialah Ketua Sekretariat Tetap MPEC, Dr Hajah Siti Haziah binti Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

    Di majlis itu, bacaan khatam Al-Quran, Takhtim dan Tahlil diketuai oleh 1544 Pelatih Abu Hurairah bin Haji Mohamad Azman daripada Platun 7 dan bacaan Doa Khatam diketuai oleh 1531 Pelatih Muhd Nur Syahmi bin Abdul Razak daripada Platun 6.

    Haji Zakaria menyampaikan sijil kepada pelatih lelaki Program Jati Diri kohort 4 dan 5 semasa majlis berkenaan. – GAMBAR SERAHAN KKBS
    Dr Hajah Siti Haziah menyampaikan sijil kepada pelatih perempuan Program Jati Diri kohort 4 dan 5 pada majlis tersebut. – GAMBAR SERAHAN KKBS
    Pelatih Program Jati Diri kohort 4 dan 5 yang diraikan dalam Majlis Khatam Al-Quran di Kem Latihan Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) Batu Apoi, Daerah Temburong. – GAMBAR SERAHAN KKBS

    Manakala itu, Doa Allah Peliharakan Sultan diketuai oleh 1436 Pelatih Abdul Rais Al Hafiz bin Haji Abdul Razak daripada Platun 2.

    Majlis turut diserikan dengan Dikir Marhaban yang diketuai oleh Penolong Pegawai Kerohanian dan Keagamaan Program Jati Diri kohort 4 dan 5, Awang Muhammad Hazwan Hakeem bin Jamaluddin.

    Pada majlis itu, penyampaian sijil kepada para pelatih disempurnakan oleh Haji Zakaria bagi pelatih lelaki, manakala itu, Dr Hajah Siti Haziah bagi pelatih perempuan.

    Majlis tersebut telah berjaya memenuhi segala tujuan yang telah dihasratkan khususnya mewujudkan para pelatih Program Jati Diri dan belia yang syumul dan cemerlang ke arah mendukung konsep Melayu Islam Beraja dan Negara Zikir.

    Majlis tersebut merupakan salah satu kurikulum latihan bagi mengukuhkan ciri-ciri kerohanian, keimanan dan ketakwaan yang telah ditanamkan sepanjang mengikuti latihan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda