Oleh Siti Nur Wasimah S.
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Mei – Dalam meningkatkan usaha-usaha penyebaran dan keberkesanan pendidikan Bahasa Arab di Brunei Darussalam, Duta Besar Kesultanan Oman ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Syeikh Ahmed bin Hashil Al-Maskari pagi tadi menyerahkan sebanyak 17 set buku teks Bahasa Arab yang merupakan sumbangan daripada Kedutaan Besar Kesultanan Oman.
Hadir bagi menerima sumbangan buku tersebut di majlis yang berlangsung di Bilik Galeri, Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Kampung Katok ialah Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof.
Buku teks berkenaan disediakan oleh Kementerian Pendidikan Kesultanan Oman dan diguna pakai dalam kurikulum Bahasa Arab peringkat rendah di Kesultanan Oman. Setiap satu daripada 17 set buku teks kurikulum Bahasa Arab yang disumbangkan dalam 14 salinan, sehingga membawa jumlah keseluruhan buku teks yang disumbangkan kepada 238 buku teks.
Menurut kenyataan yang diberikan, TYT Sheikh Ahmed menyatakan bahawa usaha bersama ini telah membuahkan hasil dengan penubuhan sudut Buku Terbitan Oman di Perpustakaan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) yang mengandungi lebih daripada 500 buah buku oleh sarjana terkemuka Oman, mendedahkan pembaca kepada Bahasa Arab, bersama dengan keunikan budaya dan tradisi Oman, selain penubuhan satu lagi sudut Penerbitan Oman di Perpustakaan Universiti Brunei Darussalam (UBD) yang menampilkan lebih daripada 700 buah buku dan multimedia yang merangkumi pelbagai aspek sejarah, ekonomi, budaya, Fiqh Islam, seni, bahasa dan kesusasteraan Bahasa Arab.
Tambahnya, antara usaha kedutaan untuk mempromosikan Bahasa Arab di Brunei Darussalam adalah penyediaan empat biasiswa tahunan untuk pelajar Brunei oleh Sultan Qaboos College untuk mengajar Bahasa Arab kepada penutur bukan bumiputera. Tahun ini kumpulan keempat pelajar Brunei dijangka dihantar untuk belajar Bahasa Arab di Oman.

Di dalam kenyataan itu juga menyatakan, Tuan Yang Terutama menambah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sangat memberi perhatian kepada pembelajaran Bahasa Arab dan Kedutaan Kesultanan Oman berharap akan memperkuat usaha untuk mengukuhkan pengajaran Bahasa Arab di negara ini dengan mengadakan program pertukaran pelajar antara kedua negara
Majlis pagi tadi itu diharap akan memperkukuh hubungan silaturahim antara Negara Brunei Darussalam dan Kesultanan Oman di samping memperluaskan kerjasama dalam semua bidang yang berkaitan khususnya bidang pendidikan Bahasa Arab.
Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz dalam kenyataannya juga mengucapkan terima kasih kepada Kedutaan Kesultanan Oman ke Negara Brunei Darussalam kerana menyumbangkan buku berkenaan.
“Kami gembira menerima buku berkenaan sebagai medium dalam memperkayakan dan meningkatkan lagi pembelajaran dan pengajaran bahasa Arab di Negara Brunei Darussalam,” katanya.