MIRI, 2 NOV – Seramai 23,970 individu warga emas dan individu dengan komorbid di Miri telah menerima suntikan dos penggalak COVID-19 setakat 1 Nov, kata Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri Datuk Seri Lee Kim Shin.
Lee yang juga Menteri Pengangkutan Sarawak berkata daerah Miri telah menerima sebanyak 19,157 dos, diikuti Subis (2,701), Marudi (1,081), Beluru (619) dan Telang Usan (412) sejak program itu bermula di daerah berkenaan pada 14 Okt lepas.
“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memberi kelulusan bagi pemberian dos penggalak vaksin COVID-19 Pfizer sekurang-kurangnya selepas enam bulan dos kedua Pfizer, dan selepas tiga bulan untuk dos kedua Sinovac,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan di dua buah pusat pemberian vaksin hospital swasta dan sebuah pusat pemberian vaksin klinik swasta iaitu masing-masing di Hospital Columbia Asia, Miri City Medical Centre (MCMC) dan Klinik Lee di sini. – Bernama