23kg susu ibu beku dirampas

BEIJING, 19 JAN – Pegawai kastam di selatan China merampas dan menghapuskan 23 kilogram susu ibu yang dibekukan daripada seorang wanita China yang baru pulang dari Singapura.

Susu beku berkenaan disimpan dalam 89 beg plastik yang dilabel dengan masa dan tarikh, dijumpai ketika wanita berkenaan melalui mesin X-ray di Lapangan Terbang Antarabangsa Jinjiang Quanzhou di Fujian, lapor media tempatan Jumaat lalu.

Rampasan seumpama itu bukanlah kali pertama dibuat namun jumlahnya adalah yang terbesar setakat ini. Wanita berkenaan yang belum dikenal pasti identitinya, memberitahu pegawai kastam bahawa susu berkenaan adalah untuk anak damitnya namun tidak dapat memaklumkan sumber ia diperoleh.

Dia juga gagal mengikut prosedur ditetapkan untuk kelulusan kuarantin. Wakil jabatan kastam berkata, susu ibu beku itu terpaksa dirampas kerana pihaknya tidak pasti dari mana dan bila susu itu diperoleh.

Namun, wanita berkenaan dibenarkan meneruskan perjalanan selepas disoal siasat. Di China, semua susu dan produk berkaitan susu, kecuali susu formula untuk anak damit, perlu mendapat kebenaran pihak berkuasa kuarantin lebih awal sebelum dibawa masuk ke China melalui kenderaan dengan keupayaan membawa produk beku.

Ini kerana berikutan penyusuan susu ibu dan manfaatnya mula mendapat perhatian ibu bapa di negara berkenaan, pasaran gelap untuk susu ibu mula wujud sejak beberapa tahun ini. – Agensi