Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 NOV – Seramai 24 orang peserta terdiri daripada pegawai dan kakitangan kerajaan, orang persendirian dan alumni Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah menghadiri Kursus Latihan Astrofiqh: Penentuan Arah Kiblat yang diadakan di Kampus UNISSA, Gadong, baru-baru ini.
Kursus anjuran UNISSA itu dikendalikan oleh Pusat Kepimpinan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Mazhab Syafi’i, UNISSA.
Hadir selaku fasilitator ialah Ketua Program Lepas Ijazah (Syariah) UNISSA, Profesor
Madya Dr Ibnor Azli bin Ibrahim.
Kursus bertemakan ‘Bagaimana menentukan arah kiblat?’ itu membincangkan sistem koordinat yang terdapat dalam dunia astronomi.
Selepas memahami konsep kiblat secara syarak, peserta seterusnya diberi latihan secara hands-on dalam penentuan kiblat asas yang santai.
Dengan adanya kursus berkenaan, ia diharap akan dapat meningkatkan pengetahuan dan pemahaman peserta mengenai isu-isu berkaitan Astrofiqh seterusnya mengembangkan disiplin ilmu Astrofiqh yang mempunyai kaitan secara langsung dengan akidah, ibadat dan kehidupan seharian.