Sunday, December 22, 2024
22.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    24 guru kerjaya baharu tamat kursus terima sijil

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 NOV – Seramai 24 orang guru kerjaya baharu dari sekolah menengah, maktab dan pusat tingkatan enam kerajaan telah menamatkan Kursus Pendidikan Kerjaya selama lapan hari anjuran Unit Pendidikan Kerjaya, Jabatan Sekolah-sekolah (JSS), Kementerian Pendidikan di Pusat Pembelajaran Sepanjang Hayat, baru-baru ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan sesi penyampaian sijil penyertaan kepada para peserta itu ialah Pemangku Penolong Pengarah selaku Ketua Bahagian Akademik, Program dan Perkhidmatan Pendidikan di JSS, Kementerian Pendidikan, Hajah Nisah binti Haji Gharif.

    Semasa menyampaikan ucapan pada majlis berkenaan, Ketua Unit Pendidikan Kerjaya, Dr Andree Asmara bin Haji Abidin berkata kursus selama lapan hari itu telah meliputi pembentangan daripada pihak berkepentingan yang berkaitan di dalam Kementerian Pendidikan seperti taklimat dari Unit Pendidikan Kerjaya, JSS; sesi perkongsian daripada guru-guru kerjaya yang berpengalaman dari Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri (STPRI), Sekolah Menengah Berakas dan Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah; dan pembentangan daripada Jabatan Pengurusan Biasiswa, Jabatan Pengajian Tinggi, IBTE dan pihak luar berkepentingan seperti JobCentre Brunei.

    Begitu juga pengisian kepada lawatan sambil belajar ke Maktab Sains Paduka Seri Begawan dan Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri Hajah Masna untuk melihat dengan lebih dekat lagi bilik kerjaya, kemudahan, perkhidmatan dan inisiatif yang diperkenalkan maka semua itu diharap dapat memberi manfaat sepenuhnya kepada para guru kerjaya baharu dalam memupuk budaya pembelajaran sepanjang hayat dan penerokaan kerjaya di sekolah masing-masing.

    Dr Andree turut menekankan bahawa guru pendidikan kerjaya memainkan peranan penting dalam membimbing pelajar ke arah membuat keputusan yang terbaik berdasarkan maklumat dan nasihat yang diberikan mengenai hala tuju masa depan mereka.

    Turut hadir ialah ketua dan para pegawai dari Unit Pendidikan Kerjaya, JSS.

    Hajah Nisah bergambar ramai bersama para guru kerjaya baharu yang tamat kursus selama lapan hari, baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN JSS
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda