Monday, May 5, 2025
31.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    24 guru sekolah rendah tamatkan kursus TOT

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 MEI – Seramai 24 orang guru sekolah rendah daripada program STEAM Education and Skills (SES) serta enam orang guru sekolah menengah yang mengajar subjek Business, Art and Technology (BAT) diraikan dalam penutup Kursus Training of Trainers (TOT) NXplorers yang berlangsung di Bangunan Akademi Kepimpinan dan Guru Brunei Darussalam (BDLTA), kelmarin.

    Kursus selama enam hari yang bermula pada 22 April hingga 3 Mei dikendalikan oleh Kementerian Pendidikan melalui Unit Tenaga Pengajar BDLTA, Jabatan Pengurusan Pendidik dengan kerjasama Makmal Tenaga Seria (SEL) dan Syarikat Minyak Brunei Shell (BSP).

    Kursus berkenaan disampaikan oleh fasilitator dari SEL iaitu Ketua SEL, Dr Nur Karnina binti Karim dan Ketua Pameran dan Pendidikan SEL, Allen Jaffran Angi.

    Manakala, kursus itu diselaraskan oleh Awang Mohamad Zuno Kartono bin Haji Ali dan Koh Guat Gee dari Unit Tenaga Pengajar BDLTA, Jabatan Pengurusan Pendidik, Kementerian Pendidikan.

    Kursus itu diharapkan dapat meningkatkan kecekapan peserta dalam menyelaras dan memimpin sesi latihan untuk guru-guru lain di sekolah dan kluster masing-masing, khususnya dalam menerapkan proses NXplorers dalam pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni dan Matematik (STEAM).

    Para peserta Kursus Training of Trainers (TOT) NXplorers. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN
    Fasilitator dari SEL yang menyampaikan kursus berkenaan. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN
    GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN

    Kursus itu bertujuan untuk memperkukuh pelaksanaan pendidikan STEAM di sekolah-sekolah di bawah Kementerian Pendidikan.

    Selain itu, kursus tersebut diharapkan dapat membekalkan para peserta dengan kemahiran menyelesaikan isu-isu dunia sebenar dan mengaplikasikan pemikiran kritis secara berkesan.

    Di samping itu, bagi menggalakkan kerjasama di peringkat global, para peserta turut berkongsi mengenai Projek Perubahan yang dihasilkan melalui platform NXplorers serta menerima maklum balas dan berkongsi pandangan bersama rakan-rakan NXplorers dari seluruh dunia.

    Program berkenaan dirangka berasaskan tiga pendekatan pembelajaran utama iaitu pertama, Pemikiran Sistem, yang menekankan pemahaman terhadap gambaran besar serta hubungan antara elemen dalam sesuatu sistem secara menyeluruh. Kedua, Perancangan Senario yang bertujuan meneroka pelbagai kemungkinan alternatif masa depan.

    Ketiga, Teori Perubahan, yang digunakan untuk merancang bagaimana dan mengapa sesuatu perubahan dijangka berlaku.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda