Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 JAN – Sebanyak 28 kes baharu jangkitan COVID-19 telah dicatatkan di Negara Brunei Darussalam pada hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada 15,825 orang.
Daripada jumlah kes baru tersebut, 24 adalah kes tempatan dan empat lagi adalah kes import, menurut Kementerian Kesihatan melalui Siaran Akhbar Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, pada hari ini. Jumlah kes baharu itu adalah hasil daripada 3,369 jumlah ujian makmal yang dilakukan dalam tempoh 24 jam yang lalu, oleh itu, kadar kes positif pada hari ini ialah sebanyak 0.8 peratus.
Kementerian itu turut mengongsikan bahawa dalam kalangan kes-kes yang sedang dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan, satu kes berada dalam kategori 4, manakala tidak ada kes yang berada dalam kategori 5.
Tujuh kes pula telah disahkan sembuh pada hari ini yang membawa jumlah kes yang sembuh di negara ini kepada 15,393 kes dengan 330 kes aktif.
Sementara itu, kadar pengisian di pusat-pusat pengasingan di seluruh negara atau bed occupancy rate ialah sebanyak 9.2 peratus.
Bagi pencapaian Program Vaksinasi Kebangsaan setakat kelmarin (13 Januari), kadar keseluruhan penduduk yang telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin ialah 94.7 peratus, dengan 93.7 peratus telah menerima dua dos vaksin manakala itu, sebanyak 31.8 peratus telah menerima tiga dos.
Manakala tidak ada pelanggaran arahan didapati semasa sekatan pergerakan Operasi Peralihan yang dijalankan di seluruh negara dari pukul 10 malam hingga 4 pagi tadi.