TENERIFE, 29 APRIL – Pihak berkuasa maritim Sepanyol menemui 24 mayat pendatang asing berketurunan Afrika dalam sebuah bot yang hanyut berhampiran perairan Kepulauan Canary.
Semua mayat, termasuk dua kanak-kanak itu dikeluarkan oleh anggota pasukan penyelamat sebelum dihantar ke rumah mayat untuk urusan selanjutnya.
Bot itu pada mulanya dikesan berada pada jarak kira-kira 500 kilometer dari Pulau El Hierro oleh tentera udara Sepanyol yang melakukan rondaan rutin pada Isnin lalu.
Anggota tentera juga berjaya menyelamatkan tiga mangsa terdiri dua wanita dan seorang kanak-kanak yang mengalami simptom hidrasi teruk dan dihantar ke hospital berhampiran bagi mendapatkan rawatan.
Sebuah kapal tunda kemudiannya dihantar untuk menunda bot dinaiki pendatang asing berkenaan ke pelabuhan berhampiran.
Pada mulanya, pihak berkuasa dimaklumkan terdapat 17 mayat dalam bot itu, namun sebaik ia tiba di pelabuhan, pasukan penyelamat menemui 24 mayat bergelimpangan dalam bot.
Sementara itu, Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dalam satu kenyataan, berkata faktor cuaca dan keadaan laut yang tidak menentu sepanjang tahun ini menjadikan laluan digunakan pendatang asing itu amat berbahaya.
“Kapal berkemungkinan hanyut untuk tempoh yang panjang dan akhirnya mangsa kekurangan bekalan air serta makanan,” katanya. – AFP
