Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 JAN – Seramai 24 orang pelajar Korea yang berusia lapan hingga 10 tahun telah berjaya menamatkan KCB International Intensive English Programme (IIEP) Junior Camp 2025 dengan majlis penutup yang berlangsung di Kampus Kolej Perdagangan Laksamana (LCB), hari ini.
Majlis penutup itu menandakan kemuncak kepada pengalaman pendidikan antarabangsa bagi para pelajar yang menyertai program berkenaan.
Majlis berkenaan dihadiri oleh Setiausaha Kedua dan Konsul di Kedutaan Korea di Negara Brunei Darussalam, Kim Pyungkuk selaku wakil kedutaan.
Turut hadir ialah Pengarah LCB, Haji Suhaimei bin Haji Besar, Ketua Pegawai Operasi dan Timbalan Pengetua LCB, Dr Sivarajah Subramaniam, jemputan khas, ahli fakulti serta kakitangan LCB.
Dalam ucapannya di majlis berkenaan, Dr Sivarajah Subramaniam menekankan pentingnya kecemerlangan akademik dan pembelajaran merentas budaya dalam memupuk hubungan pendidikan global.
Majlis diteruskan dengan penyampaian sijil kepada para pelajar yang menyertai program berkenaan yang disempurnakan oleh Dr Sivarajah Subramaniam. Majlis turut menyaksikan penyampaian beberapa anugerah berprestij yang mengiktiraf pencapaian cemerlang dalam pelbagai kategori.
Anugerah Kecemerlangan Pelajar telah disampaikan oleh Haji Suhaimei; Anugerah Pertandingan Pidato Global telah disampaikan oleh Pengarah Operasi dan Pengajian Akademik, Bogusia; dan Anugerah Pelajar Terbaik disampaikan oleh Kim Pyungkuk.
Pelajar-pelajar cemerlang yang diraikan turut menyampaikan refleksi mereka mengenai program berkenaan dengan mengetengahkan pertukaran kebudayaan dan pengalaman pembelajaran mereka semasa berada di LCB.
Program KCB Junior Camp merupakan bukti kolaborasi pendidikan kukuh antara Negara Brunei Darussalam dan Korea dengan memupuk kecemerlangan akademik serta pertukaran merentas kebudayaan.
LCB kekal komited kepada menawarkan pendidikan bertaraf dunia dan peluang-peluang antarabangsa bagi pelajar, mengukuhkan kedudukannya sebagai institusi unggul di rantau ini.