Oleh Syahmi Hassan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 MAC – Seramai 24 pelajar Kejuruteraan Kimia dari Politeknik Brunei (PB) memulakan perjalanan pendidikan ke Lanzhou, Republik Rakyat China sebagai sebahagian daripada program kerjasama antara Hengyi Industries Sdn Bhd dan PB untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi Vokasional Petrokimia Lanzhou (LPUVT).
Ditubuhkan pada Mac 2021, program kolaborasi bersama itu memberikan peluang kepada pelajar untuk memperoleh kemahiran praktikal dan pengetahuan penting bagi kerjaya dalam industri petrokimia.
Sepanjang program tiga tahun, pelajar yang menamatkan pengajian selama dua tahun di PB akan menjalani satu semester pengajian di LPUVT.
Selepas itu, mereka akan menamatkan semester akhir mereka dengan Hengyi Industries di Pulau Muara Besar, di mana mereka akan melibatkan diri dalam pembelajaran berasaskan industri, memberikan mereka pengalaman praktikal yang berharga.
Program kolaborasi bersama itu juga menyediakan para pelajar dengan Tawaran Pekerjaan Bersyarat (CoE). Setelah menamatkan pengajian mereka, para pelajar akan ditawarkan peluang untuk bekerja sepenuh masa di Hengyi Industries.
Salah seorang pelajar yang berlepas ke Lanzhou, Dayang Nur Farah Bathrisya binti Mahdini, mengongsikan pendapatnya tentang perjalanannya yang akan datang.
“Sebagai pelajar kejuruteraan dan anak bongsu dalam keluarga, saya menganggap belajar di luar negara sebagai pengalaman yang mengubah hidup di mana saya boleh menyelami suasana budaya yang benar-benar baharu, menemui kebolehan baharu dan menakluki cabaran baharu.
Turut mengongsikan kegembiraannya ialah Pengiran Muhd Abdul Malik bin Pengiran Ibnoh, yang antara lain berkata, “Kerjasama antara LPUVT dan Hengyi Industries telah membuka jalan untuk saya menemui dan meneroka dunia industri petrokimia selain meningkatkan kemahiran saya.
“Saya amat bersyukur dengan peluang ini. Saya akan berusaha untuk belajar dan meningkatkan pengetahuan saya dengan LPUVT dan seterusnya menyumbang kepada ekonomi Brunei bersama-sama dengan Hengyi Industries bagi masa depan yang lebih baik,” tambahnya.